GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan 22 individu tempatan serta dua warga asing yang dipercayai terbabit dengan sindiket penipuan pelaburan forex dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, 5 Januari lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya menerima tiga laporan berkaitan sindiket berkenaan membabitkan kerugian berjumlah RM30 juta pada tahun lalu di daerah Ampang Jaya.

"Hasil siasatan dilakukan, kami menahan 16 lelaki serta enam wanita tempatan selain seorang lelaki warga Thailand dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 25 hingga 57 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.

"Mereka yang ditahan itu termasuk dalang sindiket berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan yang menggunakan gelaran Datuk palsu.

"Kami turut merampas pelbagai barangan termasuk enam kenderaan mewah, 1,000 keping wang USD100 dipercayai palsu, tujuh bar emas disyaki palsu, barang kemas, 15 kad ATM, wang tunai berjumlah RM2,230,

22 telefon bimbit dan 10 komputer riba dalam serbuan itu " katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif memperdaya mangsa bagi menyertai pelaburan forex yang tidak wujud sejak dua tahun lalu.

"Sindiket itu juga menjual perisian komputer bagi tujuan analisa situasi pasaran forex serta dipercayai membina laman sesawang palsu untuk meyakinkan mangsa menyertai pelaburan.

"Selain itu, sindiket berkenaan juga dipercayai menggunakan wang tunai mata wang USD serta bar emas palsu yang ditemui di lokasi serbuan bagi meyakinkan mangsa terhadap pelaburan terbabit," katanya.

Beliau berkata, mangsa diminta membuat pembayaran deposit melalui beberapa kaedah seperti bayaran tunai, pemindahan wang ke dalam akaun bank diberikan sindiket dan menggunakan mata wang digital (krypto).

"Mangsa kemudian akan berdagang dan keuntungan diperoleh dapat dikeluarkan pada peringkat awal pelaburan sehingga mereka bertambah yakin dengan pelaburan disertai dan memperkenalkannya kepada kenalan lain.

"Namun, masalah mula timbul selepas keuntungan diperoleh tidak dapat dipindahkan ke akaun bank mangsa sebelum mereka menyedari ditipu sindiket terbabit," katanya.

Menurutnya, sebanyak 325 laporan dengan kerugian berjumlah lebih RM21 juta diterima pihak polis pada tahun lalu.

"Jumlah itu meningkat lebih tiga kali ganda berbanding pada 2019 yang merekodkan sebanyak 100 kes membabitkan kerugian berjumlah lebih RM15 juta.

"Bagi 2018 pula, sebanyak 150 kes penipuan forex dilaporkan membabitkan kerugian lebih RM18 juta," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila mahu membabitkan diri dalam apa jua jenis pelaburan debfan membuat semakan terlebih dahulu kepada pihak berkuasa.

"Jangan mudah terpedaya dengan tawaran keuntungan tinggi yang dijanjikan oleh syarikat pelaburan tidak sah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 2:53 PM