GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nur Elysa Amirah Suhaimi


Kuala Lumpur: Penjualan kit ujian kendiri kembali menjadi 'barang panas' susulan peningkatan semula kes Covid-19 di negara ini.

Tinjauan Harian Metro di beberapa farmasi sekitar bandar raya ini mendapati kit ujian kendiri itu mendapat permintaan yang tinggi.

Pembantu farmasi, Nur Izwati Ibrahim berkata, permintaan kit ujian kendiri meningkat sejak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini.

"Kami masih menjual kit ujian kendiri dengan harga berpatutan walaupun permintaan melonjak naik sebanyak 70 hingga 80 peratus.

"Stok pula tidak menentu kerana ada yang membeli dengan kadar yang banyak dan kami tidak mengehadkan pembeliannya buat masa ini," katanya.

Seorang pembeli, Yana Hamzah berkata, KKM lebih tahu mengenai keberkesanan penggunaan kit ujian kendiri terutama kepada varian Covid-19 yang baru.

"Saya juga sudah membeli beberapa kotak kit ujian kendiri sebagai persediaan memandangkan kes jangkitan Covid-19 mula meningkat.

"Sudah semestinya 'swab test' lebih meyakinkan tetapi saya berasakan kit ujian kendiri masih diperlukan terutama jika ada tanda-tanda kecil seperti batuk dan selsema.

"Saya juga sudah melalui sejarah Covid-19 sekitar Mac lalu dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan membeli beberapa kotak kit ujian kendiri," katanya.

Yana berkata, cuaca tidak menentu juga antara faktor peningkatan virus terbabit.

"Cuaca tidak menentu dan pemakaian pelitup muka juga sudah jarang tidak diamalkan menyebabkan kes jangkitan meningkat naik.

"Semoga kes jangkitan ini menurun dan orang ramai tidak perlu lagi bimbang dengan keadaan di luar sana seperti sebelum kedatangan Covid-19 beberapa tahun lalu," katanya

Terdahulu, KKM melaporkan berlaku peningkatan jangkitan Covid-19 tetapi masih dalam keadaan terkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 2:22 PM