Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengenal pasti terdapat sebilangan kecil premis menjual kit ujian kendiri Covid-19 melebihi harga kawalan.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 503 premis membabitkan sektor pengedaran, pemborong dan peruncitan di negeri ini sejak 5 September lalu hingga semalam.

"Kebanyakan premis yang diperiksa mematuhi penandaan harga maksimum, namun hasil pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat kira-kira 10 peratus daripada jumlah premis diperiksa masih menjual kit ujian kendiri Covid-19 melebihi harga kawalan ditetapkan iaitu pada harga RM39.90 seunit.

"Antara alasan yang dikemukakan adalah tidak peka berkaitan harga kawalan ditetapkan selain masih menjual stok lama yang dibeli pada harga tinggi sebelum ini.

"Bagaimanapun, tiada tindakan diambil dan hanya amaran dikeluarkan memandangkan kami menetapkan untuk memberi tempoh kepada mereka sehingga 11 September ini untuk menyelaras harga kit ujian kendiri Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau harga kit ujian kendiri Covid-19 di beberapa farmasi di sekitar Sri Gombak di sini, hari ini.

Operasi bersepadu itu yang bermula jam 10 pagi tadi turut disertai beberapa pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Gombak.

Muhamad Zikril berkata, dalam pemeriksaan hari ini, pihaknya tidak mengeluarkan amaran bertulis sepanjang pemeriksaan dijalankan memandangkan peratus pematuhan terhadap harga maksimum kit ujian itu melebihi 98 peratus.

"Bagaimanapun, pemeriksaan dan pemantauan ulangan akan diteruskan dan sekiranya terdapat pelanggaran oleh pihak peniaga, tindakan kes akan dikenakan bermula 12 September ini.

"Selain itu, kami turut memeriksa bekalan kit ujian ini di setiap peringkat dan mendapati ia di tahap memuaskan dengan pengguna mudah untuk mendapatkannya," katanya.

PEKERJA farmasi menunjukkan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) ketika Ops Samar dan Ops Bersepadu KPDNHEP Selangor, baru-baru ini. FOTO Aziah Azmee
PEKERJA farmasi menunjukkan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) ketika Ops Samar dan Ops Bersepadu KPDNHEP Selangor, baru-baru ini. FOTO Aziah Azmee

Beliau berkata, pihaknya menerima dua aduan berhubung kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual pada harga tinggi pada 3 September lalu.

"Hasil semakan ke atas dokumen jualan dan dokumen kos mendapati harga terbabit adalah sama seperti hari pertama ia dijual kepada pengguna.

"Berdasarkan pemeriksaan itu juga, kami mendapati tiada unsur kenaikan harga kos dari pembekal kit ujian berkenaan," katanya.

Beliau turut memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana peniaga di negeri ini supaya tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan mengambil keuntungan tidak munasabah memanipulasi harga ketika permintaan meningkat terhadap kit ujian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 1:15 PM