TINJAUAN bekalan kit ujian kendiri Covid-19 di farmasi sekitar Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
TINJAUAN bekalan kit ujian kendiri Covid-19 di farmasi sekitar Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Bekalan kit ujian kendiri Covid-19 di pasaran masih banyak sekalipun ada kebimbangan dalam kalangan orang ramai berikutan peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

Ia hasil tinjauan Harian Metro di beberapa farmasi, premis jualan produk kecantikan dan kesihatan diri serta pasar raya sekitar ibu kota, hari ini.

Bagaimanapun, pembantu farmasi, Farid Abdullah, 28, tidak menafikan berlaku kekurangan bekalan kit ujian kendiri Covid-19 pada minggu lalu.

"Bekalan kurang minggu lalu dan saya syak ia ada kaitan dengan kenaikan kes Covid-19.

"Mungkin mereka panik dan bimbang dengan varian Omicron, jadi membeli kit ujian sebagai persediaan serta langkah awal mengesan virus.

"Kini, bekalan kembali stabil dan saya jangka tiada masalah sama akan berlaku selepas ini," katanya.

Pembantu jualan premis jualan produk kecantikan dan kesihatan diri dikenali Amirah, 25, mengakui ramai pelanggan datang untuk membeli kit ujian kendiri Covid-19 sejak beberapa hari lalu.

"Sebelum ini memang ada saja yang membeli cuma bilangannya kini lebih ramai.

"Cuma, bekalan di premis tempat saya bekerja ini sentiasa ada dan belum berkurangan.

"Saya tidak pasti akan datang macam mana, namun berharap tiada isu bekalan kurang bagi memudahkan pelanggan mendapatkannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 4:59 PM