ANWAR menyampaikan ucapan perasmian pecah tanah projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Ulu Tomani, Kemabong hari ini. FOTO Bernama
ANWAR menyampaikan ucapan perasmian pecah tanah projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Ulu Tomani, Kemabong hari ini. FOTO Bernama
Izwan Abdullah


Penampang: Perdana Menteri meminta rakyat supaya tidak mendengar hujah pihak tertentu mempertikaikan jumlah peruntukan yang diberikan kepada Sabah dan negeri lain melalui Belanjawan Kerajaan Persekutuan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat tidak perlu mendengar hujah ahli politik yang tidak mengikut fakta kerana ia lebih cenderung kepada sentimen sendiri untuk menarik sokongan.

Katanya, ada kenyataan yang diputar belit termasuk berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dapat diambil tindakan dalam tempoh setahun di bawah kerajaan pimpinannya.

"Ada yang tanya, kenapa peruntukan di Sabah ini kurang, ada yang kata termasuk beberapa Ahli Parlimen dan bekas tokoh negara yang mengatakan Pulau Pinang lebih tinggi daripada Sabah.

"Saya nak minta saudara-saudara jangan dengar hujah orang politik yang tidak ikut fakta, orang politik ini kadang-kadang mengikut sentimen dia untuk tarik sokongan rakyat bawah.

"Ada yang putar belit fakta, jadi saya nak terangkan adakah perlu kita menilai dan melaksanakan MA63, saya jawab kita akan laksanakan dan apakah sudah kita laksanakan? Kita ambil tindakan dalam satu tahun, lebih baik daripada 10 tahun oleh kerajaan sebelumnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2023 di Buhavan Square, Donggongon, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Anwar berkata, melalui rundingan MA63, Kerajaan Persekutuan antaranya melaksanakan pemindahan kuasa bekalan elektrik kepada Sabah dan memindah penyelesaian projek kecil kepada kerajaan Sabah.

"Kita juga tambah peruntukan besar kepada Sabah, kita tetapkan wakil negeri Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang wajib ditunaikan," katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, peruntukan projek pembangunan Sabah pada tahun depan mencecah RM6.84 bilion jauh lebih tinggi berbanding Pulau Pinang yang hanya RM1.4 bilion.

"Kalau tanya kenapa Sabah tinggi, jawab saya, masalah Sabah lebih banyak, jalan, sekolah, bekalan elektrik, air, semua ini harus kita bantu.

"Semenanjung janganlah bantah, Sabah pula haruslah puji sedikit, janganlah marah lagi. Sebelum ini, semasa mereka berkuasa tak tambah peruntukan, tapi saya ambil alih satu tahun saya tambah dari RM5 bilion tahun lalu kepada RM6.84 bilion.

"Untuk pengurusan pula antara RM7 hingga RM8 bilion, jadi kalau satu tahun persekutuan beri hingga RM16 bilion. Saya sebut ini sebab ia menjadi mainan politik dan saya harap ini dihentikan," katanya.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk RM15 bilion peruntukan untuk projek Lebuhraya Pan Borneo yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Dalam hal lain, Perdana Menteri berkata, kerajaan memutuskan keperluan untuk menangani isu harga beras, ayam dan barangan lain yang masih tinggi di Sabah, termasuk melalui pemberian subsidi.

"Kerajaan Persekutuan bayar subsidi untuk pastikan seperti mana beras kita bayar subsidi supaya kita dapat turunkan harga barang di Sabah.

"Kalau kita tidak tampung, harga itu akan melambung lebih tinggi," katanya.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof diberi tanggungjawab mempengerusikan jawatankuasa khas untuk menangani harga barang di Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 7:53 PM