Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 50 peratus daripada penduduk Malaysia menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata, ia berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019.

"Prevalens kencing manis atau diabetes di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara di mana negara mencatatkan peningkatan ketara daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 18.3 peratus pada 2019.

"Kencing manis menyebabkan pelbagai komplikasi kepada penghidapnya. Seorang penghidap kencing manis berisiko untuk mendapat penyakit jantung, strok, kerosakan saraf, mata dan kegagalan buah pinggang," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai berapa jumlah yang dibelanjakan untuk menangani NCD terutamanya diabetes dan perancangan untuk menangani prevalens NCD di negara ini.

DR Zaliha Mustafa. FOTO Bernama.
DR Zaliha Mustafa. FOTO Bernama.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, Laporan Pelan Strategi Mengurangkan Beban Penyakit Buah Pinggang Kronik mendapati 65 peratus pesakit yang memerlukan rawatan dialisis, adalah daripada kalangan mereka yang mengidap penyakit kencing manis.

Dalam pada itu katanya, jumlah perbelanjaan langsung penjagaan kesihatan untuk menangani NCD adalah sebanyak RM9.65 bilion iaitu merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan di Malaysia.

Katanya, bagi jumlah perbelanjaan penyakit diabetes adalah sebanyak RM4.38 bilion atau 45.38 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan penyakit NCD.

Menurutnya, ia diikuti dengan perbelanjaan bagi merawat penyakit kardiovaskular sebanyak RM3.93 bilion (40.73 peratus) dan RM1.34 bilion (13.89 peratus) bagi merawat penyakit kanser.

"Perbelanjaan ini adalah merangkumi perbelanjaan kemasukan ke hospital, penjagaan primer di klinik kesihatan, rawatan pesakit luar di

hospital, pemeriksaan dan ujian kesihatan serta pembiayaan perubatan," katanya.

Dr Zaliha turut berkata, pada tahun 2017, NCD telah memberi impak negatif kepada ekonomi di negara ini.

"Di mana kos tidak langsung akibat NCD adalah sebanyak RM12.88 bilion dalam bentuk kehilangan produktiviti. Diabetes mencatatkan kehilangan produktiviti tertinggi sebanyak RM5.74 billion dan kardiovaskular sebanyak RM5.32 bilion," katanya.

Katanya, bagi menangani prevalens NCD yang tinggi di negara ini, KKM memperkasa pelaksanaan pelan komprehensif yang dinamakan Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit NCD 2016-2025.

Beliau berkata, selain itu, advokasi juga dilaksanakan melalui pelbagai medium dan dilakukan secara berterusan di peringkat komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 11:18 AM