KONSERT Coldplay yang akan berlangsung pada 22 November di Stadium Nasional, Bukit Jalil. FOTO Aizuddin Saad
KONSERT Coldplay yang akan berlangsung pada 22 November di Stadium Nasional, Bukit Jalil. FOTO Aizuddin Saad
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berpendapat konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur esok bukan semata-mata mengenai kumpulan itu menyokong Palestin.

Ketua Penerangan Pas itu sebaliknya berkata, isunya adalah mengenai budaya hedonisme yang ingin dibawa ke dalam masyarakat di negara ini.

"Sebagaimana yang disebut Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tadi dalam isu Coldplay, Perdana Menteri menyebut kumpulan itu memberikan sokongan kepada Palestin.

"Ya, bukan isu memberikan sokongan atau tidak kepada Palestin semata-mata tetapi isu budaya hedonisme yang nak dibawa dalam masyarakat.

"Saya kira dalam suasana hiruk-pikuk isu Palestin yang ada pada hari ini membawa satu kumpulan antarabangsa dalam negara kita, ia tidak sesuai pada masanya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar terdahulu menyatakan akan mengadakan perbincangan dengan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah berhubung penganjuran konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur esok, berikutan wujud gesaan segelintir pihak supaya konsert itu dibatalkan.

Beliau berkata, wujud juga pertikaian daripada pelobi berhubung gesaan itu kerana Coldplay dikatakan antara kumpulan yang menyokong Palestin.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, belia seharusnya dielakkan terbabit daripada budaya hedonisme.

"Ditambah pula kumpulan pemuzik antarabangsa ini ada terbabit menyokong isu LGBT secara terang-terangan dan ini tidak boleh.

"Belia harus dielakkan daripada terbabit perkara seperti ini," katanya.

Mengulas mengenai sindiran dibuat Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin mengapa kerajaan Kelantan tidak memboikot Mercedez Benz, Ahmad Fadhli berkata, ada perkara yang semua pihak tidak mampu untuk memboikotnya.

"Ada perkara yang kita tidak mampu nak boikot. Sebagai contoh Iphone, Facebook dan sebagainya. Apa yang kita boleh boikot, kita boikot.

"Tak boleh buat semua, jangan tinggal semua.

"Jangan perlekehkan orang yang nak melaksanakan boikot ini terhadap barangan yang dikeluarkan oleh syarikat yang menyokong Israel," katanya.

Chong semalam dilapor mempersoalkan mengapa kerajaan Kelantan masih menggunakan kereta mewah, Mercedes Benz yang turut menyumbang kepada ekonomi Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 4:36 PM