Antara penduduk Kampung Bangi, Bangi Lama gotong-royong bersihkan kampung.  FOTO AZHAR RAMLI
Antara penduduk Kampung Bangi, Bangi Lama gotong-royong bersihkan kampung. FOTO AZHAR RAMLI
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kajang: Banjir melanda baru-baru ini menyebabkan penduduk Kampung Bangi di sini, mengambil inisiatif untuk mengadakan gotong-royong membersihkan saluran perparitan, memperbaiki injap pintu air Sungai Semenyih dan mengukuhkan ban Sungai Bangi.

Gotong-royong itu membabitkan 50 orang penduduk Kampung Bangi yang rumah mereka terjejas teruk akibat banjir pada 5 November lalu.

Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bangi, Kamaruzaman Aziz, 64, berkata, tujuan gotong-royong ini diadakan adalah bagi mengelakkan banjir yang berlaku lebih teruk seperti sebelum ini.

"Kita buat gotong-royong adalah untuk membendung berlakunya banjir teruk di kampung ini dan kita tumpukan kawasan yang terjejas sebelum ini.

"Seramai 50 orang mangsa yang terjejas teruk semasa banjir 5 November tempoh hari 'turun' pada hari ini," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Pada 5 November lalu, dilaporkan kira-kira 150 penduduk terpaksa berpindah akibat banjir yang melanda di sekitar Bangi dan Semenyih.

Kesemua mangsa dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya MPKK Kampung Bangi dan Tadika Perpaduan Taman Bangi Ria.

Dalam masa yang sama, Kamaruzaman turut meminta pihak berkaitan dapat menjelaskan perkembangan terbaru mengenai projek penjajaran semula Sungai Semenyih dan Bangi berjumlah RM7.5 juta dinyatakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada mereka tahun lalu.

Kamaruzaman berkata, dia difahamkan bahawa projek itu sepatutnya dilaksanakan pada Mac tahun ini.

"Setakat ini, kami tak dapat maklumat lanjut mengenai projek itu sama ada ditangguhkan atau kajian semula, kita tak pasti," katanya.

Seorang penduduk Kampung Bangi, Izam Eng Ismail, 40, berkata, dia hadir untuk bergotong-royong adalah bagi membersihkan 'sisa' tinggalan bencana banjir di kampungnya.

"Kita nak menyelenggara injap pintu air (Sungai Semenyih) supaya kejadian banjir tidak berulang kembali.

"Selain itu, kita juga nak membersihkan saluran perparitan tersumbat yang ada di kampung ini.

"Disebabkan itu, saya datang gotong-royong hari ini. Kalau kita tak bekerjasama, nanti takut banjir itu jadi lagi. Penat juga nak kemas rumah nanti," katanya sambil menambah sudah lapan kali rumahnya dimasuki air.

Seorang lagi penduduk Kampung Bangi, Khozinnatul Asrar Asrari, 49, berkata, dia menyertai gotong-royong ini adalah disebabkan rasa tanggungjawab.

"Kita sertai pun atas rasa tanggungjawab sebagai penduduk kampung untuk elakkan banjir ini jadi lagi.

"Saya juga mengharapkan adanya jalan penyelesaian daripada pihak berwajib bagi membendung masalah banjir yang kerap kali terjadi di sini.

"Ini kerana bila hujan sahaja, saya amat risau takut berlakunya banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 2:30 PM