PELAJAR yang menjayakan program gotong-royong di Kampung Semarak, Rahang, semalam. FOTO Mohd Amin Jalil
PELAJAR yang menjayakan program gotong-royong di Kampung Semarak, Rahang, semalam. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


KERJASAMA dan permuafakatan penduduk Kampung Semarak, Rahang di sini, terserlah menerusi aktiviti menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes selain menambah keceriaan, kelmarin.

Seramai 25 pelajar berusia 15 dan 16 tahun daripada program belia Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) bersama 30 penduduk menyertai program gotong-royong itu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Semarak, Hassan Hussin, 52, berkata, pihaknya bangga dengan penggemblengan tenaga secara percuma terutama golongan muda.

Katanya, antara aktiviti dilakukan ialah membersihkan kawasan kampung, gelanggang futsal, longkang, mencantas dan menanam pelbagai jenis pokok serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Peserta juga membaik pulih dan mengecat serta membersihkan surau Kampung Semarak.

“Program ini menyaksikan budaya gotong-royong dan sukarelawan masih subur dalam kalangan masyarakat. Ia juga menjadi platform terbaik memupuk perpaduan antara pelbagai kaum,” katanya.

Program itu mendapat kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang, Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan SWM Environment Sdn Bhd (SWM).

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia Dinamik Barat (PBDB) yang bertindak sebagai penyelaras ARPRM negeri, Zaharuddin Abd Majid berkata, program itu adalah sebahagian aktiviti sukarelawan mereka.

Katanya, ARPRM sentiasa menggalakkan ahli menyertai aktiviti kesukarelawanan bagi memupuk sikap dan pemikiran positif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 5:45 AM