MOHAMAD (tengah) dan Kahar (tiga dari kanan) serta nelayan bergotong-royong mengecat Jeti Nelayan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina. FOTO Hassan Omar
MOHAMAD (tengah) dan Kahar (tiga dari kanan) serta nelayan bergotong-royong mengecat Jeti Nelayan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


ANGGOTA komuniti Kampung Paya Lebar, Lubok Cina di sini, tertanya-tanya bila projek Fasa Kedua Melaka Ecoriver Cruise akan dimulakan kerana mereka sudah melakukan persiapan untuk menerima kunjungan pelancong tempatan dan luar negara.

Pada Mac lalu, pelaksanaan projek itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan mengikut perancangan ia akan dimulakan pada Julai.

Namun penduduk mendakwa tidak ada perkembangan terkini berhubung projek itu yang dikongsikan kepada mereka.

Komuniti nelayan dan anak kariah itu memerah keringat membersih dan mengindahkan jeti nelayan di kampung berkenaan dalam satu program gotong-royong, semalam.

PELANCONG menyusuri Sungai Ramuan Cina untuk menikmati pemandangan dan suasana paya bakau. FOTO Hassan Omar
PELANCONG menyusuri Sungai Ramuan Cina untuk menikmati pemandangan dan suasana paya bakau. FOTO Hassan Omar

Ketua Jaringan Perikanan kampung, Mohamad Jantan, 71, berkata, selepas projek itu diumumkan pihaknya menyediakan perahu dan bot untuk membawa pelancong menyusuri Sungai Ramuan Cina, Sungai Rembau dan Kuala Linggi.

“Kami bergotong-royong mencantikkan jeti untuk menyambut pelancong dan bangga kerana kampung kami dipilih, tapi sampai kini kami masih tertanya-tanya bila ia akan dimulakan.

“Penduduk berharap kerajaan negeri meneruskan projek itu kerana ia membantu meningkatkan ekonomi komuniti ini,” katanya.

Gotong-royong itu dihadiri 50 nelayan yang membersihkan dan mengecat jeti serta menyediakan petak parkir kenderaan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Paya Lebar, Kahar Jodin.

Selain keindahan paya bakau semula jadi, Sungai Ramuan Cina, Sungai Rembau dan Kuala Linggi adalah destinasi popular dalam kalangan kaki pancing khususnya pemburu udang galah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 5:45 AM