WAN Mohd Hasnan (dua dari kiri) bergotong-royong bersama sukarelawan PETRONAS di SK Dabong, semalam.
WAN Mohd Hasnan (dua dari kiri) bergotong-royong bersama sukarelawan PETRONAS di SK Dabong, semalam.

Kuala Krai: Lebih RM2.3 juta sudah dibelanjakan PETRONAS untuk membantu mangsa banjir di Kelantan, Pahang dan Terengganu sejak sebulan lalu.

Pengurus Besar Wilayah Timurnya Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, peruntukan itu termasuk membekalkan bekalan makanan, bahan mentah dan keperluan harian kepada mangsa banjir selain turut mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan terjejas teruk di tiga negeri itu.

Wan Mohd Hasnan berkata, dalam misi gotong-royong, pihaknya memilih beberapa sekolah terjejas teruk dengan terbaru adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Dabong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong membabitkan sukarelawan seramai 500 orang.

“Hari ini (semalam), 500 kakitangan PETRONAS dari Kuala Lumpur dan Wilayah Timur turun padang membantu membersihkan dua sekolah itu yang hingga kini terjejas.

“Ini juga adalah misi kelima PETRONAS dalam membantu mangsa banjir. Awal Disember lalu, kita sudah menyumbang gas memasak untuk mangsa di sini, malah semasa banjir bertandang juga, kita salurkan bekalan makanan dan bahan mentah untuk pusat pemindahan sementara.

“Jadi, dalam fasa pasca banjir ini, selain bantuan material, kita kumpulkan kakitangan untuk membersihkan kawasan sekolah yang terjejas teruk supaya sesi persekolahan di sekolah ini dapat segera dibuka,” katanya ketika ditemui di SK Dabong, di sini, semalam.

Wan Mohd Hasnan berkata, misi gotong-royong di sekolah itu turut mendapat persetujuan Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

Katanya, seiring pembukaan dua sekolah itu hari ini, PETRONAS juga mengagihkan peralatan dan pakaian seragam baru kepada pelajar yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:21 AM