Salah seorang penduduk menunjukkan paras Sungai Golok ketika di temui di Kampung Lachang, di sini, hari ini.
Salah seorang penduduk menunjukkan paras Sungai Golok ketika di temui di Kampung Lachang, di sini, hari ini.
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat pemantauan di daerah Pasir Mas dan Tanah Merah yang dijangka mengalami banjir jika berlaku taburan hujan lebat.

Pengarah JBPM Kelantan Zainal@Jainal Madasin berkata, pihaknya memberi tumpuan ke atas paras air Sungai Golok, Rantau Panjang dan Sungai Jenob, Tanah Merah sebagai penanda aras.

Menurutnya, pada masa sama, pihaknya bersiap siaga memandangkan cuaca juga mendung dan hujan selain melakukan pemantauan secara berkala bagi memastikan penduduk dalam keadaan selamat.

"Selain kesiapsiagaan fizikal dan mental anggota, JBPM juga memastikan aset seperti lori dan bot dalam keadaan baik memandangkan ia menjadi keutamaan setiap kali Monsun Timur Laut (MTL) melanda negeri ini.

"Pemantauan lebih kerap dijalankan di kawasan penempatan rendah dan memberi nasihat kepada penduduk agar berwaspada dan mengambil langkah berpindah awal jika keadaan membahayakan

"JBPM Kelantan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bekerjasama untuk menghadapi banjir serta berkongsi maklumat semasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, balai bomba dan penyelamat (BBP) yang terbabit dengan 617 kawasan hotspot banjir di seluruh negeri juga diarahkan memberi laporan harian bagi mengetahui keadaan paras air dari semasa ke semasa.

Semalam, media melaporkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran kemungkinan banjir di dua daerah itu bermula awal pagi hari ini sekiranya hujan berpanjangan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 1:08 PM