Zainal@Jainal Madasin (dua dari kanan) memantau kawasan dinaiki air di Kampung Tersang, Rantau Panjang. FOTO Syaherah Mustafa.
Zainal@Jainal Madasin (dua dari kanan) memantau kawasan dinaiki air di Kampung Tersang, Rantau Panjang. FOTO Syaherah Mustafa.
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Lebih 60 keluarga di Kampung Tersang, di sini resah selepas penempatan mereka mula dilimpahi air separas 0.3 meter, sejak tengah hari tadi.

Setiap tahun, perkampungan itu antara kawasan terawal di Rantau Panjang dilanda banjir disebabkan jarak dekat sungai dan berada di kawasan rendah.

Penduduk, Muhamad Shafik Mohd Zain, 23, berkata, hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan berlaku limpahan air di halaman rumahnya dan semakin naik.

"Biasanya jika hujan berterusan dua atau tiga hari, penempatan kami akan banjir antara 0.5 meter (m) hingga 1m, sebelum kami berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Sekarang air masih cetek, jadi kami selamatkan dulu kenderaan serta barangan penting, sebelum air naik mendadak," katanya yang memberitahu limpahan air di rumah mereka dari Sungai Lanchang.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Zainal@Jainal Madasin turun padang memantau di kawasan terjejas termasuk Kampung Tersang.

Zainal menasihati penduduk di kawasan rendah terutama berhampirsan sungai supaya berwaspada dan segera berpindah sekiranya paras air Sungai Golok meningkat.

"Setakat ini, masih belum ada laporan untuk pemindahan penduduk, namun kami sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan cuaca mendung dan hujan," katanya yang berkongsi maklumat dengan agensi keselamatan.

Berdasarkan portal publicinfobanjir.water.gov.my, paras Sungai Golok di Rantau Panjang setakat 5 petang berada pada 7.85m melepasi paras berjaga-jaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 6:21 PM