TUJUH sekawan termasuk remaja yang didakwa merogol serta meliwat remaja perempuan bawah umur dibawa ke mahkamah, hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
TUJUH sekawan termasuk remaja yang didakwa merogol serta meliwat remaja perempuan bawah umur dibawa ke mahkamah, hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Tujuh sekawan termasuk lima remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan merogol dan meliwat remaja perempuan.

Mereka berusia antara 14 hingga 19 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd dan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa merogol dan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang berusia 15 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kijal, Kemaman antara 4 petang hingga 6.15 petang, Julai 2022.

Dua tertuduh berusia 19 tahun yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 377B KK, didakwa di Mahkamah Sesyen, manakala lima lagi tertuduh yang juga pesalah juvana didakwa di Mahkamah Majistret mengikut kanun sama.

Kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Wan Suhaila menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.

Bagi kes di Mahkamah Majistret, ked disebut semula pada 3 Januari.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Ahnaf Zaimi.

Terdahulu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing antara RM3,700 hingga RM8,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 4:35 PM