Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol, meliwat dan melakukan seks luar tabii terhadap tiga anaknya.

Tertuduh yang berusia 38 tahun itu membuat pengakuan itu selepas tujuh pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun.

Dia turut berdepan tiga lagi pertuduhan melakukan perhubungan seks terhadap anaknya yang berusia 12 tahun.

Tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang lagi mangsa yang berusia sembilan tahun.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah di daerah Kuala Nerus antara Februari 2022 hingga Mei lalu.

LELAKI yang dituduh merogol, meliwat dan melakukan hubungan seks terhadap tiga anak di Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
LELAKI yang dituduh merogol, meliwat dan melakukan hubungan seks terhadap tiga anak di Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 377CA KK dan 377C KK berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 12 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bagaimanapun, tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nur Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 323/326 KK kerana mencederakan isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 3:21 PM