Dr Fadzureena Jamaludin. FOTO Bernama
Dr Fadzureena Jamaludin. FOTO Bernama
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berjaya menghasilkan produk anti­gout dihasilkan menggunakan ekstrak daun pokok cucur atap yang mudah diperolehi di pesisir pantai negeri ini.

Ketua Program Sumber Biologi FRIM, Dr Fadzureena Jamaludin, berkata beliau memulakan kajian berkaitan daun berkenaan pada tahun 2012 selepas mendapat geran penyelidikan.

Menurutnya, abstrak dari daun cucur atap bagus dalam merencat enzim yang menghasilkan uric asid dalam badan terutama uric asid bagi pesakit gout.

Katanya, hasil kajian yang dilakukan itu mendapati terdapat enzim yang mampu merencat penghasilan uric asid dan mampu menangani masalah gout.

"Walaupun kita sudah mendapat ekstrak daripada daun berkenaan namun kajian berterusan masih dijalankan.

"Kajian dilakukan terutama bagi kelangsungan bekalan bahan mentah. Kami mahu wujudkan ladang pokok cucur atap sebelum mengkomersilkan produk ini.

"Buat masa ini, daun berkenaan kita peroleh dari sini (Terengganu). Kami ada satu stesen penyelidikan FRIM di Kampung Bari, Setiu, dan kawasan tu banyak pokok cucur atap," katanya ketika ditemui pada Program Bicara Teknologi FRIM 2023, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah FRIM, Dr Ismail Parlan.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya masih bergantung kepada sumber yang berada di Terengganu sebelum meneruskan kajian di Maran, Pahang bagi kelangsungan bahan mentah daun cucur atap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 3:15 PM