ANTARA produk buluh yang dihasilkan FRIM.
ANTARA produk buluh yang dihasilkan FRIM.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Apabila menyentuh mengenai industri pembuatan perabot di negara ini, ramai mengaitkannya dengan beberapa jenis pokok saja terutama getah, jati, meranti dan sebagainya yang lebih popular.

Sebenarnya, hasil hutan daripada pokok yang kurang popular seperti spesies sesenduk, kelempayan, khaya dan jelutong juga mempunyai potensi tinggi untuk menjadi bahan alternatif pembuatan perabot.

Selain itu, bahan mentah daripada hasil bukan kayu seperti kelapa, kelapa sawit dan buluh juga sebenarnya mempunyai potensi besar untuk industri berkenaan.

Pegawai Penyelidik Unit Rekabentuk Perabot, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Yanti Abdul Kadir berkata, kayu pokok berkenaan juga berkualiti dan kajian yang dijalankan turut membuktikan strukturnya juga kukuh seperti beberapa spesies kayu popular yang lain.

Katanya, pada sebatang pokok kelapa, semua yang dicipta oleh Allah SWT ada kegunaannya.

“Daripada buah, batang hinggalah kepada pelepah semua boleh memberi hasil dan manfaat jika kita menggunakan sepenuhnya kemajuan teknologi penyelidikan yang ada.

“Namun, masih ramai yang ragu-ragu mengenai kualiti kayu pokok kelapa, kelapa sawit dan buluh kerana menganggap ia tidak sekukuh seperti spesies kayu pokok lain,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurut Yanti, pasukannya yang diketuai Ketua Unit Reka Bentuk Perabot Dr Abdul Hamid Saleh sebelum ini melakukan penyelidikan mengenai potensi batang pokok kelapa, kelapa sawit dan buluh untuk dijadikan sebagai bahan alternatif pembuatan perabot.

Katanya, penyelidikan itu mendapat pengiktirafan banyak pihak kerana memenangi pingat emas di Ekspo Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2010 dan ITEX 2012, pingat perak Anugerah Bioinovasi 2013 dan Malaysia Teknologi Expo 2013 (MTE), tempat ketiga Festival Sains Teknologi dan Inovasi Selangor 2010 serta pelbagai lagi.

“Di peringkat FRIM, penyelidikan ini turut diiktiraf sebagai Penyelidikan Terbaik 2014 bagi Buluh dan 2012 bagi E-PAWV (Enginered Palm Wood Veneer) manakala kajian buluh yang diberi nama teknologi Rotary Veneer Bamboo (RoVBAM) dalam proses paten,” katanya.

Kata Yanti, produk daripada buluh biasanya dijadikan penyepit makanan, bilah sate atau barangan kraf cenderahati, namun tidak ramai yang mengetahui ia mempunyai potensi besar untuk dijadikan bahan alternatif bagi industri pembuatan perabot.

Katanya, venir yang dikupas melalui teknologi putaran RoVBAM yang dihasilkan FRIM adalah teknologi putaran pertama seumpamanya atau untuk buluh betung (Dendrocalamus asper) dijadikan lapisan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 5:08 AM