GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Hanya kerana tidak mahu meminjamkan duit, seorang lelaki ditetak rakannya berdekatan sebuah klinik di Pekan Bukit Pelandok, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima laporan pada jam 6.15 petang daripada orang awam.

"Bertindak atas maklumat pada jam 1.50 pagi, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Port Dickson membuat tangkapan ke atas suspek di sebuah rumah di Taman Murni, Chuah.

"Polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa," katanya kenyataan hari ini.

Katanya, suspek yang ditangkap berusia 33 tahun mempunyai 12 rekod lampau membabitkan jenayah, dadah dan dikehendaki bagi satu kes dadah.

"Hasil ujian saringan air kencing, suspek didapati positif methaphetamine.

"Mahkamah Majistret Port Dickson membenarkan permohonan reman suspek selama enam hari sehingga 12 November ini," katanya.

Aidi Sham berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dan suspek adalah rakan dan punca kejadian akibat mangsa enggan meminjamkan wang.

"Suspek yang ketika itu di bawah pengaruh alkohol hilang kawalan diri dan bertindak menyerang mangsa menggunakan parang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun dan denda dan sebatan.," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 5:01 PM