RAGUNATHAN yang masih bebas dan dikehendaki segera untuk membantu siasatan polis. FOTO Ihsan Polis
RAGUNATHAN yang masih bebas dan dikehendaki segera untuk membantu siasatan polis. FOTO Ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Polis memburu lelaki dikenali sebagai Ragunathan Chempan yang dipercayai terbabit dalam kes menyerang dan mencederakan seorang penternak lembu di Bukit Pelandok, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki itu dikehendaki selepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Bukit Pelandok.

Katanya, penternak lembu berusia 30 tahun mendakwa ditetak suspek dikenalinya, kira-kira 8 pagi, 4 September lalu di kandang lembu miliknya.

"Lelaki yang dicederakan itu serang menggunakan parang oleh tiga suspek lelaki yang dikenalinya.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan hutang berkaitan jual beli lembu yang masih belum selesai.

"Mangsa parah di bahagian hidung, kepala, leher, tangan serta mulut akibat diserang suspek dan masih dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS)," katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menahan dua lelaki masing-masing berumur 37 tahun dan 46 tahun secara berasingan untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

"Polis masih mengesan seorang lagi suspek (Ragunathan Chempan) yang masih bebas bagi mebantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Daniel Abdul Rahim di talian 06-6462999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 12:24 AM