KAPAL MV Rapollo yang berlabuh di Jeti Jimah Energy Ventures Bukit Pelandok. FOTO Ihsan Polis
KAPAL MV Rapollo yang berlabuh di Jeti Jimah Energy Ventures Bukit Pelandok. FOTO Ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Dua kru kapal MV Rapallo yang melecur di badan akibat terkena percikan minyak panas kapal, kini dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua mangsa warga Romania dikenali sebagai Cristian Eugen Rusu dan Ionel Laurentiu Timpu, masing-masing berusia 29 tahun.

"Pegawai perubatan hospital mengesahkan kedua-dua mangsa melecur 50 peratus dan berada dalam keadaan stabil.

"Mereka sudah dipindahkan dari Hospital Port Dickson ke Hospital Mannipal Klang, Selangor untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aidi Sham berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur khianat atau disengajakan dalam kejadian itu.

"Kedua-dua mangsa sedang melakukan kerja rutin di atas kapal sebelum terkena percikan minyak panas yang menyebabkan badan mangsa melecur.

"Insiden ini adalah satu kemalangan industri dan hasil siasatan awal tidak menemukan sebarang perlakuan jenayah," katanya.

Menurutnya, difahamkan Jabatan Laut akan memulakan pemeriksaan lanjut di atas kapal MV Rapollo esok.

Beliau berkata, difahamkan, kapal dari Australia ini berlabuh di Jeti Jimah Energy Ventures (JEV) Bukit Pelandok, dekat sini, sejak 5 April lalu dengan membawa muatan arang batu dan dijangka keluar dari jeti hari ini.

Berita berkaitan:

  • 2 kru kapal melecur
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 10:03 PM