PENGHANTARAN Kedua Malbattt 850-11 di Pangkalan Udara Subang yang diketuai oleh Timbalan Komander Malbatt 850-11, Leftenan Kolonel Zainol Abdul Samad bersama 16 pegawai dan 200 anggota lain-lain pangkat ke Lebanon.  FOTO Genes Gulitah
PENGHANTARAN Kedua Malbattt 850-11 di Pangkalan Udara Subang yang diketuai oleh Timbalan Komander Malbatt 850-11, Leftenan Kolonel Zainol Abdul Samad bersama 16 pegawai dan 200 anggota lain-lain pangkat ke Lebanon. FOTO Genes Gulitah
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang : Seramai 216 anggota dan pegawai pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 kumpulan kedua berlepas ke Lubnan hari ini.

Kumpulan kedua itu diketuai Timbalan Komander Malbatt 850-11, Leftenan Kolonel Zainol Abdul Samad bersama 16 Pegawai dan 200 anggota lain-lain pangkat.

Malbatt 850-11 akan meneruskan misi United Nations Interim Force In Labenon (UNIFIL) di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL.

Kumpulan kedua ini akan ditempatkan di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma'rakah serta Kem Tibnin dan akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adli Zahari berkata, penghantaran kumpulan kedua ini amat penting dalam usaha untuk merealisasikan komitmen ATM selaku misi pasukan pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya di Lubnan.

Beliau berkata, pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Kontinjen Malbatt di Lubnan ini berjaya mendapat pengiktirafan dan kepercayaan antarabangsa.

"Kepercayaan ini jelas membuktikan ATM mampu memainkan peranan misi pengaman setanding dengan angkatan tentera negara lain.

"Peranan dan pembabitan ini penting bagi membuktikan Malaysia sangat komited dalam melaksana misi bantuan kemanusiaan kepada negara yang memerlukan, demi memastikan keamanan dan keselamatan sejagat dipertahankan," katanya dalam ucapan pada majlis penghantaran kumpulan kedua Malbatt 850-11 di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Menurutnya, Malaysia sebagai sebuah negara di bawah Panji-Panji PBB yang cintakan keharmonian dan kesejahteraan sentiasa menyokong segala usaha ke arah pendamaian dan kemaslahatan manusia.

"Prinsip ini sejajar dengan ajaran Islam yang menggariskan interaksi hubungan sesama manusia atau 'Hablum-Minan-Nas' adalah amat penting yang mana, kita diharuskan untuk membantu sesama manusia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

"Penyertaan negara sahabat iaitu Brunei Darussalam di dalam Kontinjen ATM, secara tidak langsung dapat meningkatkan hubungan kerjasama serta semangat setiakawan ATM dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 4:54 PM