Tenaga pengajar yang cemerlang bukan sahaja dapat membekalkan pembelajaran berkualiti, malah ia berkesan menarik minat pelajar mengikuti pendidikan
STEM. - FOTO NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Tenaga pengajar yang cemerlang bukan sahaja dapat membekalkan pembelajaran berkualiti, malah ia berkesan menarik minat pelajar mengikuti pendidikan STEM. - FOTO NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Nurul Husna Mahmud

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya melahirkan lebih 40,000 guru digital yang memperoleh persijilan antarabangsa daripada Google, Microsoft dan Apple serta 500 Duta Guru STEM pada tahun ini sebagai usaha memperkasakan pendidikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Dasar dan Kurikulum KPM, Dr Ahmad Rafee Che Kassim, tenaga pengajar yang cemerlang bukan sahaja dapat membekalkan pembelajaran berkualiti, malah ia berkesan menarik minat pelajar mengikuti pendidikan STEM.

"Dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan RM100 juta peruntukan untuk pembangunan pendidikan STEM bagi menaik taraf infrastruktur termasuklah perkakas dan keperluan di sekolah.

"Itu tidak termasuk dengan peruntukan tambahan sebanyak RM250 juta yang diberikan bagi mengukuhkan kemahiran dan meningkatkan kompetensi guru, termasuk yang mengajar STEM.

"Komitmen KPM berterusan untuk meningkatkan kualiti tenaga pengajar juga boleh dilihat menerusi kolaborasi bersama pihak industri berkaitan seperti Yayasan Petronas (YP).

Program berkenaan dinamakan Program Duta Guru YP-KPM sedang melatih 4,500 guru STEM untuk menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan pendekatan pedagogi yang inovatif yang penting dalam mem- perkukuhkan hala tuju pendidikan STEM ini," katanya.

KPM juga melihat inisiatif termasuklah meningkatkan kualiti guru STEM selain memberi peningkatan memberangsangkan terhadap penyertaan pelajar dalam program berkaitan.

Image

"Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025) yang menekankan pendidikan STEM di peringkat sekolah menerusi aktiviti kurikulum dan kokurikulum dengan pendekatan atau kaedah lebih menyeronokkan berbanding penilaian dibuat hanya menerusi peperiksaan.

"KPM melihat pendekatan pengajaran STEM oleh guru baik keluaran Institut Pendidikan Guru (IPG), universiti dan sedang berkhidmat juga berlainan dalam menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, menganalisis masalah dan membangunkan penyelesaian secara inovatif.

"Pendekatan di praktiuskan gurut STEM bersumberkan bahan pengajaran berasaskan inkuiri sains dan inkuiri matematik yang dapat mencorak daya pemikiran pelajar dalam konteks lebih praktikal dan berkait dengan kehidupan seharian mereka.

"Ia diperkukuhkan dengan penggunaan teknologi digital selain pelaksanaan amali sains" katanya.

Tambah Dr Ahmad Rafee, KPM juga menggalakkan penyertaan aktif guru dan pelajar dalam pelbagai aktiviti dan karnival berkaitan STEM.

"Minat pelajar terhadap STEM perlukan dorongan komuniti terutama ibu bapa selain pihak sekolah atau KPM.

"Justeru KPM menganjurkan pelbagai pertandingan dan karnival berkaitan STEM antaranya Karnival Kemahiran Digital, Pertandingan Robotik, Program Semarak STEM dan Robotik dan banyak lagi untuk wujudkan kesedaran dalam kalangan komuniti itu.

"Potensi pelajar kita turut cemerlang kerana ada antara penyertaan mereka berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Terbaru pelajar kita merangkul dua pingat emas dan dua pingat gangsa dalam pertandingan 

World Olympiad(WRO) Friendship Invitational Tournament di Odense Denmark September baru-baru ini," katanya.

Pihaknya positif penyertaan pelajar dalam bidang STEM boleh meningkat lebih 50 peratus penyertaan pelajar pada tahun akan datang berdasarkan semua inisiatif telah diambil oleh pihak kementerian.

"KPM berharap menjelang 2027, pelajar kita sudah bersedia dengan kurikulum baru yang akan memfokuskan STEM sebagai aliran utama pilihan pelajar.

"Malah, ketika ini kita secara berperingkat membantu pelajar memilih pakej mata pelajaran yang ingin mereka pelajari di bawah kurikulum STEM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 12:52 PM