Wan Mohammad Zaidi (kiri) pada sidang media di Kuantan.  FOTO Asrol Awang
Wan Mohammad Zaidi (kiri) pada sidang media di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Enam Pasukan Gerak Cepat (PGC) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang bersiap siaga menghadapi bencana banjir di negeri ini.

Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, berkata setiap pasukan membabitkan seorang pegawai dan lima anggota ditempatkan di enam daerah iaitu Kuantan, Pekan, Maran, Temerloh, Bentong dan Raub.

"Pasukan ini dilengkapi kenderaan bagi operasi menyelamat iaitu masing-masing sebuah lori dan pasukan empat roda serta dua bot.

"PGC yang ditempatkan di enam daerah ini bukan menumpukan di daerah masing-masing tetapi bergerak ke daerah lain mengikut keperluan," katanya ketika ditemui pejabat JBPM Pahang di sini, semalam.

Mengulas persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan bulan ini, beliau berkata, segala persiapan berjalan lancar membabitkan jumlah keanggotaan dan logistik.

Katanya, seramai 1,193 pegawai dan anggota sepenuh masa, pegawai bomba bantuan dan pasukan bomba sukarela dalam keadaan bersedia pada bila-bila masa.

"Daripada segi kekuatan logistik pula membabitkan 257 kenderaan termasuk kenderaan marin, lori, kenderaan pelbagai guna, pacuan empat roda dan bas.

"Antara peralatan lain ialah jaket keselamatan, pendayung, lampu suluh, pelampung dan tali untuk operasi menyelamat," katanya.

Justeru, beliau menasihati masyarakat supaya peka dan berpindah apabila diarahkan berbuat demikian.

"Sebaiknya mengawasi kanak-kanak ketika banjir dan memastikan mereka tidak bermain di kawasan banjir, sungai, parit dan lombong untuk mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 12:07 PM