RUMAH kedai dekat Taman Regent, Jalan Gemencheh ke Batang Melaka, di sini, dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter. FOTO ihsan bomba
RUMAH kedai dekat Taman Regent, Jalan Gemencheh ke Batang Melaka, di sini, dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter. FOTO ihsan bomba
Ahmad Hasbi


Tampin: Hujan lebat berterusan di daerah ini malam tadi menyebabkan 15 rumah kedai dekat Taman Regent, Jalan Gemencheh ke Batang Melaka, di sini, dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, sebuah lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dikatakan terkandas di kawasan berkenaan sebelum dikeluarkan pasukan bomba bersama pemandu dan penumpang masing-masing.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.18 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemencheh bergegas ke lokasi.

"Banjir mengakibatkan air memasuki 15 rumah kedai di Taman Regent dan terdapat sebuah lori satu tan serta sebuah Toyota Hilux tersangkut di kawasan banjir.

"Tindakan anggota menggunakan tali menyelamat dan PFD untuk menyelamat mangsa di dalam kedua-dua kenderaan. Terdapat tujuh mangsa terdiri daripada lima lelaki Bangladesh dan dua lelaki tempatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa ditempatkan di kawasan selamat namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka memandangkan air surut kira-kira jam 10 malam.

Sementara itu di Rumah Rakyat Johol, Johol, Kuala Pilah, sebanyak lapan rumah dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter pada jam 10.30 malam juga disebabkan hujan lebat berterusan.

"Sepasukan anggota dari BBP Kuala Pilah bergegas ke lokasi bagi memantau keadaan dan operasi menyelamat.

"Air naik setinggi lebih kurang 0.5 meter di lapan rumah di kawasan ini. Namun penghuni enggan berpindah kerana air mulai surut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 11:44 AM