Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari zon Utara bersiap sedia dikerah ke negeri Pantai Timur sekiranya situasi banjir semakin buruk.

Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Moktar berkata, sebagai negeri dipilih menjadi pusat pengurusan 'Regional Forward Base', pihaknya bersama pasukan bomba dari negeri utara bersedia pada bila-bila masa jika dipanggil untuk menghulurkan bantuan.

Beliau berkata, setiap negeri di utara khususnya Pulau Pinang, Kedah dan Perak dijangka dapat menghantar 30 anggota dari setiap negeri, ke negeri terjejas banjir.

"Kami di Pulau Pinang dan bomba zon Utara kini bersiap sedia jika Pusat Operasi dari Putrajaya memanggil anggota turun menghulurkan bantuan ke negeri terjejas banjir pada bila-bila masa.

"Setakat ini situasi di utara sangat baik dan kita mempunyai sumber manusia dan logistik mencukupi," katanya selepas Sesi Taklimat Pengenalan Aturgerak Sumber Manusia, Logistik dan Pengurusan Regional Forward Base di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda, di sini, hari ini.

Pulau Pinang dipilih sebagai 'Regional Forward Base' pada Oktober tahun lalu bagi mengumpulkan kekuatan sumber manusia dan logistik dari zon utara sebelum digerakkan ke lokasi banjir, sekali gus meningkatkan kecekapan serta dapat menghulurkan pertolongan kepada mangsa dengan lebih cepat dan terurus.

SAADON (kiri) meninjau persediaan  pasukan bomba negeri dalam berdepan situasi banjir dan tanah runtuh selepas Sesi Taklimat Pengenalan Aturgerak Sumber Manusia, Logistik dan Pengurusan Regional Forward Base di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad
SAADON (kiri) meninjau persediaan pasukan bomba negeri dalam berdepan situasi banjir dan tanah runtuh selepas Sesi Taklimat Pengenalan Aturgerak Sumber Manusia, Logistik dan Pengurusan Regional Forward Base di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad

Difahamkan, JBPM Pulau Pinang mempunyai keanggotaan 653 orang dari 20 BBP serta logistik membabitkan 31 bot aluminium , 12 lori, 29 kenderaan pacuan empat roda, 631 pelampung termasuk jaket keselamatan dan 30 set skuba untuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Saadon berkata, pihaknya turut mengenalpasti 36 kawasan berisiko banjir di lima daerah di negeri ini termasuk dua ke tiga kawasan lereng bukit yang dikhuatiri boleh berlaku tanah runtuh.

"Kami sudah kenal pasti semua lokasi berisiko banjir dan tanah runtuh dan akan membuat tinjauan ke tempat berkenaan termasuk melakukan tinjauan di udara.

"Selain itu, kami akan membuat tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi membolehkan persiapan rapi dilakukan jika banjir berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 3:33 PM