FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 1,199 anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula bulan depan.

Pengarahnya, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, setakat ini, 11 APM daerah menjalani latihan simulasi banjir bagi memberikan perkhidmatan terbaik terutama operasi menyelamat mangsa banjir.

Katanya, latihan simulasi itu turut membabitkan kerjasama bersama agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan komitmen diberikan pegawai dan anggota bagi menghadapi Monsun Timur Laut tahun ini.

"Kemudahan pengangkutan termasuk bot semuanya dalam siap siaga dan turut mendapat kerjasama dengan agensi lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Che Adam berkata, pihaknya mempunyai 74 kenderaan air iaitu bot jenis aluminium, gentian kaca dan tempur.

Katanya, kenderaan darat pula membabitkan kereta, lori, bas, ambulans dan kenderaan pacuan empat roda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 3:36 PM