Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Tiada pembelian panik membabitkan ayam standard di negeri ini susulan pengumuman kerajaan akan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi bekalan itu bermula esok.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, hari ini mendapati pelanggan membeli ayam seperti biasa.

Peniaga, Mohd Anwari Zulkefli, 34, berkata pelanggan datang ke kedainya seperti biasa bagi membeli ayam sama ada secara borong dengan harga RM7.50 sekilogram dan runcit RM8 sekilogram.

Menurutnya, dia juga mendapati pelanggan tidak panik apabila mereka membeli bekalan seperti sebelum ini walaupun kerajaan akan menamatkan pemberian subsidi harga ayam, esok.

"Setakat ini ayam dijual dengan harga biasa dan mungkin esok juga harga seperti hari ini. Berikutan itu tidak ada pembelian secara panik.

"Hari ini saya dapat jual 400 ekor ayam seperti sebelum ini," katanya yang menjual ayam sejak lebih 10 tahun lalu.

Mohd Anwari melayan pelanggannya yang membeli ayamnya ketika tinjauan di Pasar Besar Siti Khadijah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mohd Anwari melayan pelanggannya yang membeli ayamnya ketika tinjauan di Pasar Besar Siti Khadijah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Peniaga ayam lain Rosmini Mohd Hanafi, 45, berkata tidak berlaku pembelian panik di kedainya dan pengunjung yang datang adalah pelanggan tetap.

"Tidak ada tambahan pelanggan hari ini (semalam), malah jualan adalah seperti biasa dan ayam yang saya jual tidak habis. Ini menunjukkan tidak ada pembelian panik.

"Sebagai peniaga, saya harap harga ayam tidak naik kerana ia akan menjejaskan kedatangan pelanggan. Jika harga naik mungkin pasar ini akan jadi lebih sunyi kerana orang tidak ada duit untuk membeli," katanya.

Sementara itu, pelanggan, Mohd Asyraf Mohd Arif, 21, berharap harga ayam tidak naik dan dijual seperti biasa walaupun kerajaan akan menamatkan pemberian subsidi, hari ini.

"Jika harga ayam naik, ia akan memberi kesan kepada saya dan rakyat yang lain berikutan kos hidup pada masa ini agak tinggi.

"Harga terkini pun saya rasa dah tinggi, kalau naik lagi ia akan membebankan termasuk meningkatkan belanja dapur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 3:52 PM