SUASANA pembelian di Pasar Selayang kelihatan terkawal tanpa pembelian panik dari pelanggan berikutan pengumuman kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO ASYRAF HAMZAH
SUASANA pembelian di Pasar Selayang kelihatan terkawal tanpa pembelian panik dari pelanggan berikutan pengumuman kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO ASYRAF HAMZAH
Sri Ayu Kartika Amri


“SEMALAM memang luar biasa sebab ada (pelanggan) yang beli telur sehingga 30 papan,” kata peniaga telur di Pasar Basah Selayang, She She Saw, 45.

Dia yang terkejut dengan pembelian panik dilakukan orang ramai mendakwa purata telur yang dibeli oleh pelanggannya sebelum ini hanya antara lima hingga 10 papan sahaja.

“Tetapi semalam ramai berpusu-pusu beli telur jenis yang mahal dan telur kategori A, B serta telur kampung antara paling laku.

“Selalu, saya mampu jual lebih 100 papan telur sehari, dan semalam sahaja lebih 900 papan terjual,” katanya yang terpaksa menempah lebih 1,000 papan telur bagi menampung permintaan.

Bagaimanapun, tinjauan Harian Metro di Pasar Basah Selayang dan Pasar Basah Chow Kit mendapati aktiviti harian berjalan seperti biasa, hari ini.

Tiada sebarang pembelian panik dilihat dan kebanyakan barangan mencukupi serta dijual pada harga kawalan.

Suri rumah, Suriani Che Adnan, 48, berkata dia hanya membeli barang keperluan harian kerana sudah kehabisan bekalan di rumah.

“Saya tidak mahu membazir dan hanya mencukupkan bekalan yang tiada di rumah.

“Lagipun perintah kawalan pergerakan yang diumumkan semalam hanya untuk tempoh dua minggu dan saya sentiasa mengikut saranan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, peniaga ayam di Pasar Basah Chow Kit, Mohd Azandi Mohd Idrus, 45, orang ramai masih membeli di kedainya tetapi bukan pembelian panik.

“Memang rata-rata jualan peniaga agak menurun disebabkan wabak Covid-19, namun semalam dan hari ini saya lihat ramai yang membeli,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan sejak 1999.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa esok hingga 31 Mac ini di seluruh negara bagi mencegah penularan baharu wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 9:09 PM