Alias Abd Rani

Muar: "Dalam kes kamu, ada prima facie. Jadi mahkamah putuskan kamu perlu membela diri," kata Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat, selepas mengarahkan seorang petani berusia 55 tahun membela diri atas pertuduhan mencabul anak tirinya, empat tahun lalu.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah juga menolak hujahan pihak pembelaan yang mengatakan tarikh dikemukakan saksi pendakwaan tidak sama dengan kejadian sebenar berlaku.

Abu Bakar berkata, ini kerana dalam kes ini terdapat saksi mata yang melihat kejadian itu berlaku iaitu kakak mangsa.

"Tarikh kejadian adalah tidak material dan mahkamah tidak mengambil kira (tarikh kejadian) tapi dalam kes ini pihak pendakwaan sudah berjaya membuktikan memang wujud prima facie.

"Justeru, mahkamah memutuskan supaya kamu perlu memberi keterangan membela diri," katanya.

Sejurus selepas keputusan itu, peguam tertuduh, Mohd Razak Sharif bangun dan memberitahu mahkamah anak guamnya akan memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.

TERTUDUH bersama peguam selepas Mahkamah Sesyen Muar mengarahkannya membela diri atas tuduhan mencabul anak tiri. FOTO Alias Abd Rani
TERTUDUH bersama peguam selepas Mahkamah Sesyen Muar mengarahkannya membela diri atas tuduhan mencabul anak tiri. FOTO Alias Abd Rani

Pada April tahun lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan mencabul kehormatan anak tirinya yang ketika itu berusia 11 tahun dua bulan.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Tertuduh bagaimanapun, mengaku tidak bersalah pada hari pertuduhan dibacakan.

Sepanjang tempoh perbicaraan itu, pihak pendakwaan yang diketuai Danial Munir memanggil enam termasuk kakak mangsa.

Susulan keputusan itu, mahkamah menetapkan 8 Januari depan untuk tertuduh memberi keterangan membela diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 3:22 PM