Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini memerintahkan pengurus sebuah madrasah untuk membela diri terhadap pertuduhan mencabul seorang lelaki di sebuah hotel pada Disember 2020.

Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Syamsul Zaman Sukri, 33, yang turut dikenali sebagai 'Ustaz Budak'.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk Syamsul Zaman membela diri pada 25 Januari depan. Tertuduh memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah.

Mohd Izdham berkata, pihak pendakwaan memanggil lima saksi dan mahkamah meneliti segala keterangan serta hujahan saksi.

"Dalam kes ini mahkamah mengguna pakai penilaian maksima selain mahkamah turut berpuas hati dengan keterangan pengadu.

"Pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh dan oleh itu tertuduh diarah untuk membela diri," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah bilik hotel, di sini, pada 1.15 pagi 16 Disember 2020.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 2:51 PM
SYAMSUL Zaman (kiri) diperintah oleh Mahkamah Majistret membela diri atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah hotel pada Disember 2020. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SYAMSUL Zaman (kiri) diperintah oleh Mahkamah Majistret membela diri atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah hotel pada Disember 2020. FOTO Nik Abdullah Nik Omar