KWSP sentiasa komited untuk memastikan masyarakat sentiasa mempunyai kesedaran tentang kepentingan memiliki simpanan yang kukuh untuk masa hadapan. - FOTO Hiasan
KWSP sentiasa komited untuk memastikan masyarakat sentiasa mempunyai kesedaran tentang kepentingan memiliki simpanan yang kukuh untuk masa hadapan. - FOTO Hiasan
Nur Amirah Abd Rani

PENDIDIKAN yang berkualiti adalah kunci kepada kestabilan kerjaya sekali gus membina kehidupan lebih selesa untuk setiap individu. 

Tentunya kepada ibu bapa, impian dan harapan terbesar mereka adalah untuk melihat anak-anak melanjutkan pengajian ke menara gading dan berjaya. 

Antara kekangan dan cabaran untuk merealisasikan impian ini adalah apabila kos dan yuran yang agak tinggi menjadi beban. 

Selain pinjaman pendidikan dan bantuan biasiswa, terdapat pilihan lain yang boleh  digunakan iaitu pengeluaran pendidikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengeluaran bagi pendidikan 

Siapa sangka, simpanan  di Akaun 2 KWSP mampu memberi kemudahan dan kesenangan bukan saja pada pencarum tetapi juga kepada ibu bapa, anak dan pasangan ahli. 

Mungkin tidak ramai tahu pengeluaran Akaun 2 untuk pendidikan boleh dibuat pada dua kategori iaitu pembayaran yuran pengajian dan pembayaran baki pinjaman pendidikan. 

Bagi Fateen Syahirah Syakrien, penuntut tahun pertama pengajian Ijazah Doktor Falsafah di universiti awam berkongsi pengalaman menggunakan simpanan KWSP dari akaun 2 untuk membiayai yuran pengajiannya. 

"Sepanjang pengajian, saya menggunakan simpanan Akaun 2 KWSP untuk membiayai yuran pengajian pada setiap semester. 

"Pengeluaran ini sedikit sebanyak membantu untuk menampung perbelanjaan serta mengurangkan beban terhadap kos lain yang perlu digunakan sepanjang menyiapkan kajian saya, tambahnya."

Berbeza pula dengan Fatin Syafiqah Arof, yang menggunakan Akaun 2 KWSP untuk pembayaran pinjaman pendidikan.

"Saya berjaya membayar hutang pengajian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM11,000 dalam masa lima tahun."

Katanya, mengikut perjanjian dengan Institusi Pemberi Pinjaman (IPP) tempoh masa yang ditetapkan bagi melangsaikan hutang adalah selama 10 tahun. 

"Jadi, saya sangat bersyukur, tabungan dan pengeluaran Akaun 2 KWSP ini sedikit sebanyak meringankan beban saya untuk segera selesaikan hutang pendidikan lebih awal dari perjanjian asal," katanya. 

Simpan baik-baik jamin masa depan Benarlah pepatah mengatakan sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. 

Oleh itu, untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan simpanan atau tabungan bagi menjamin masa depan, KWSP  memperkenalkan kempen 'Simpan baik-baik'. 

Usaha berterusan ini mampu menjadi salah satu pendorong kepada individu untuk mempunyai kefahaman tentang literasi kewangan dan pentingnya mempunyai simpanan kecemasan. 

Simpanan KWSP boleh menjadi salah satu tabungan berguna kepada ahli atau keluarga ahli sekiranya memerlukan dana bagi tujuan seperti perumahan, pendidikan dan kesihatan.

Simpanan ini juga membuktikan ia tidak hanya terhad kepada simpanan persaraan malah menawarkan sokongan sepanjang hidup sebelum dan selepas bersara.

KWSP sentiasa komited untuk memastikan masyarakat sentiasa mempunyai kesedaran tentang kepentingan memiliki simpanan yang kukuh untuk masa hadapan. 

Elakkan pengeluaran untuk perkara tidak perlu, rancang dan simpan baik-baik tabungan di KWSP untuk menjamin masa depan yang lebih cerah!

Untuk maklumat lanjut layari laman sesawang KWSP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 12:59 PM