Celik kewangan bermaksud apabila seseorang individu itu peka untuk membuat keputusan rasional dan bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan. - FOTO Hiasan.
Celik kewangan bermaksud apabila seseorang individu itu peka untuk membuat keputusan rasional dan bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan. - FOTO Hiasan.
Nur Amirah Abd Rani

BELANJA dengan berhemah atau ukur baju di badan sendiri adalah satu ungkapan yang biasanya berkait rapat dengan pengurusan kewangan. 

Pengurusan kewangan atau celik kewangan amat penting bagi memastikan setiap individu dapat menguruskan kewangan dengan cara baik bagi mengelakkan diri daripada terbabit dalam kancah hutang. 

Penganalisis Ekonomi Universiti INCEIF, Prof Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia adalah pada kadar membimbangkan. 

Menurut laporan kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 oleh Bank Dunia, 60 peratus individu di negara ini yang menghadapi masalah muflis merupakan generasi muda.

"Celik kewangan bermaksud apabila seseorang individu itu peka untuk membuat keputusan rasional dan bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan peribadi dan kunci utamanya adalah kesedaran mewujudkan dana tabungan kecemasan.

"Terdapat tiga indikator yang boleh mengukur tahap celik kewangan iaitu menerusi tahap kesedaran tabungan, hutang isi rumah dan bankrap atau muflis. 

ImageProfesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid 

Tambah Baharom, kurang penguasaan terhadap kesedaran celik kewangan berlaku berikutan kurangnya kemahiran dalam mengatur seni tata kewangan peribadi seperti trend berbelanja melebihi kemampuan, tiada simpanan asas perlindungan peribadi, dan penggunaan kad kredit. 

"Tidak dinafikan, penggunaan kad kredit sebenarnya membantu dan mempunyai banyak kebaikan sekiranya digunakan oleh individu yang memiliki kemahiran dan ilmu kewangan yang betul," kata Baharom. 

Penggunaan instrumen bayaran tertunda seperti beli dahulu dan bayar kemudian juga boleh menjadi jerat kepada individu yang kerap berbelanja berdasarkan hawa nafsu dan kemahuan. 

Simpanan asas perlindungan peribadi seperti insurans atau takaful adalah sebahagian daripada celik kewangan, yang merangkumi perlindungan sosial untuk masa tua. 

Oleh itu, amat penting untuk kita semua bertanggungjawab dalam berbelanja bagi mengelakkan diri daripada jatuh miskin. 

Timbalan Naib Canselor I-Cats Universiti Kolej Kuching Sarawak Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor pula berkata, rata-rata rakyat Malaysia mempunyai kesedaran untuk menabung tetapi tiada kemampuan untuk berbuat demikian. 

ImageProf Datuk Dr Shazali Abu Mansor

Menurutnya, keperluan yang perlu ditanggung pada masa kini tidak mencukupi kerana majoriti anak muda perlu menampung kos perbelanjaan harian yang tinggi dan tidak setara dengan pendapatan bulanan. 

"Ini adalah kenyataan, sekiranya tiada tabungan paksa seperti simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kebarangkalian untuk rakyat Malaysia menabung adalah sangat rendah. 

"Kesalahan utama dalam berbelanja seperti penggunaan kad kredit akan menjejaskan pengaliran tunai individu pada setiap bulan disebabkan oleh kadar faedah yang tinggi. 

"Tidak menjadi masalah sekiranya individu ingin membuat pinjaman peribadi yang bersifat produktif yang mampu membantu mengukuhkan kewangan bulanan dan ekonomi mereka seperti membeli rumah dan kereta.

Menyentuh soal pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000, pencarum masih mempunyai masa untuk menabung semula tabungan yang dikeluarkan dengan berfikiran sebagai pelabur. 

"Pencarum boleh menambah semula pendapatan dan tabungan dengan menggunakan sebahagian daripada wang tersebut untuk pelaburan berisiko rendah seperti membeli saham hartanah dan emas," kata Shazali.

Selain itu, pencarum juga boleh menyimpan semula tabungan KWSP dengan menambah peratusan caruman setiap bulan dengan hanya memaklumkan kepada pihak sumber manusia syarikat. 

Sekiranya tambahan sebanyak satu atau dua peratus dari caruman 11 peratus sedia ada dibuat, pencarum dianggarkan akan menyimpan sebanyak 25 peratus daripada gaji mereka setiap bulan. 

Bagi individu yang kehilangan pekerjaan atau baru memulakan perniagaan anda boleh menyimpan wang ke dalam tabungan KWSP secara sendiri dengan cara mudah melalui i-saraan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 12:58 PM