Nurshafika Suhaimi

PASCA pandemik menyaksikan tekanan baharu terhadap ekonomi Malaysia terutama sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), individu bekerja sendiri.

Oleh itu, masyarakat wajar lebih prihatin dalam pengurusan kewangan di samping mempersiapkan dana simpanan untuk diri dan keluarga.

Bagi pemandu kereta e-hailing, Aminurashid Muhamat akui pendapatan tidak menentu menyukarkan dia untuk membuat simpanan tetap.

Bagaimanapun, dia mengakui persediaan yang baik perlu dilakukan bagi menjamin persaraan kewangan kelak. 

Simpanan bukan sahaja pelaburan penting untuk kecemasan, namun memainkan peranan utama yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Pelajar dan pekerja sambilan, Mohammad Najiy, berkata dia mengambil inisiatif sendiri menyimpan wang persaraan untuk masa hadapan memandangkan tiada pendapatan tetap. 

"Saya freelance, tiada pendapatan tetap, jadi saya sendiri mengambil inisiatif untuk carum wang di i-Saraan untuk simpanan masa depan saya.

"i-Saraan sangat penting di hari tua untuk golongan seperti penghantar makanan dan artis terutama yang tiada KWSP seperti saya boleh mencarum di i-Saraan kerana sekurang-kurangnya jika umur panjang, kita ada duit simpanan,"katanya.

Tambahnya lagi, dengan duit simpanan tersebut, dia boleh meneruskan kehidupan seperti biasa di hari tua kelak. 

KWSP menerusi i-Saraan memperkenalkan insentif khas buat golongan bekerja sendiri atau yang tiada pendapatan tetap untuk membuat caruman secara sukarela bertujuan membantu mereka dalam persaraan.

Dalam masa yang sama, ahli juga akan menerima caruman tambahan sebagai insentif daripada pihak kerajaan.

Lebih menarik, mereka boleh membuat caruman sukarela ini serendah RM1 hingga RM60,000 setahun pada bila-bila masa sahaja. 

Faedah i-Saraan

Selain dapat mencarum mengikut kemampuan sendiri, ahli i-Saraan turut akan menikmati dividen tahunan di atas simpanan persaraan. 

Bagi ahli yang berumur di bawah 60 tahun akan menerima sumbangan kerajaan sebanyak 15 peratus daripada jumlah caruman, tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM250 setahun.

Bukan itu sahaja, ahli juga layak mendapat pelepasan cukai pendapatan dan bantuan kematian sebanyak RM2,500* serta boleh membuat pengeluaran terpilih.

Insentif ini hanya layak dimohon oleh warganegara Malaysia yang berumur di bawah 60 tahun serta mereka yang bekerja sendiri dan mereka yang tiada pendapatan tetap.

Ini termasuk suri rumah** dan individu yang melakukan sesuatu pekerjaan yang mendatangkan hasil dan bukannya seorang pekerja.

Mereka juga harus mendaftar sebagai ahli KWSP dan membuat pilihan i-Saraan. 

Cara memohon untuk i-Saraan?

Bagi mereka yang berminat untuk mendaftar i-Saraan boleh mengisi borong di sini, seterusnya mendaftar secara dalam talian menerusi Portal Pendaftaran i-Saraan atau Kaunter KWSP.

Pembayaran boleh disalurkan melalui perbankan internet melalui Maybank, RHB Bank, Public Bank, Bank Muamalat, Alliance Bank, Hong Leong Bank, Bank Islam, CIMB Bank dan MBSB Bank atau kaunter ejen bank (tunai / cek) melalui BSN, Maybank, Public Bank, RHB Bank.

Selain itu, anda juga boleh membuat pembayaran di ejen bank berdaftar BSN atau di mana-mana kaunter pembayaran KWSP Ibu Negeri termasuk KWSP Muar menggunakan Borang KWSP 6A (2).

Untuk maklumat lanjut sila rujuk Senarai Pejabat dan Kios KWSP.

Jangan lupa untuk membawa MyKad, Borang i-Saraan - KWSP 16G (M) (pendaftaran kali pertama sahaja), Borang i-Saraan - KWSP 6A (2) (Semasa bayaran) dan bayaran dalam tunai dan cek atau melalui perbankan internet (Penggunaan borang tidak diperlukan).*tertakluk kepada terma dan syarat KWSP

** Suri rumah hanya dibenarkan memilih satu (1) insentif sahaja pada satu masa. Jika anda telah mendaftar dengan Insentif Suri (Kasih Suri Keluarga Malaysia KWSP), anda perlu membatalkannya sebelum membuat permohonan baru bagi i-Saraan. Walau bagaimanapun ianya adalah bergantung kepada kelayakan pemohon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 6:26 PM