GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan penyelarasan harga kawalan maksimum baharu, bagi program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) di Semenanjung, berkuat kuasa hari ini, umum Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata ia melibatkan penyelarasan harga maksimum di pintu gudang syarikat pengeluar benih padi sah (BPS), daripada RM31 kepada RM40 per kampit 20 kilogram (kg).

"Ia juga melibatkan penyelarasan harga maksimum di peringkat peruncit, daripada RM35 kepada RM45 per kampit 20kg.

"Penyelarasan ini tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohamad berkata perkara itu juga tidak merubah struktur pengeluaran, pembekalan dan pengedaran BPS sedia ada, yang melibatkan 12 syarikat pengeluar BPS, 13 syarikat pemborong dan 456 peruncit, di seluruh negara.

"Penyelarasan ini akan menggalakkan penggunaan BPS yang bermutu tinggi dan rintang penyakit dalam kalangan para pesawah, di samping mengelakkan penggunaan benih padi tidak sah atau benih 'kampit putih' di pasaran," katanya.

Mohamad berkata KPKM cakna dengan rungutan para pesawah di lapangan, iaitu berkaitan kesukaran mendapatkan BPS di pasaran, selain peningkatan harga BPS per kampit 20kg sehingga mencecah RM50.

Beliau berkata kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 per tan metrik kepada RM1,300 per tan metrik, selaras dengan pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Okt lepas, di mana peningkatan itu dijangka memberi impak kepada harga padi terutamanya padi benih, iaitu padi yang ditanam untuk dijadikan sebagai benih.

KPKM, menurut Mohamad menjangkakan kenaikan harga padi benih akan menyebabkan kos pengeluaran benih padi termasuk bagi program IBPS turut meningkat, dan tidak dapat dijual pada harga kawalan maksimum sedia ada iaitu RM35 per kampit 20kg.

Dilaporkan semalam, para pesawah di Kedah merungut sukar mendapatkan BPS pada harga berpatutan bagi memulakan proses menanam padi pada hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 7:00 PM