Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my


Johor Bahru: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menafikan berlaku penyelewengan benih padi sehingga menjejaskan jadual tanaman lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penetapan harga siling RM35 bagi setiap beg Benih Padi Sah (BPS) Februari lalu telah mengurangkan isu penyelewengan atau manipulasi benih padi.

Bagaimanapun katanya, kementerian tidak menafikan ketirisan berlaku sebelum ini, namun isu itu ditangani termasuk dengan penetapan harga siling BPS, selain menahan beberapa individu yang disyaki memanipulasi dan menyeleweng benih padi oleh Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras.

"Penetapan harga siling benih padi kepada maksimum RM 35 itu adalah tindakan yang dapat kurangkan isu penyelewengan dan sorok benih, jadi ia (penyelewengan benih padi) tiada ruang untuk dimanipulasi demi menjaga masa depan pesawah negara.

"Isu yang dilaporkan di Kedah dan Perlis tidak seserius seperti musim yang lalu dan ia lebih kepada isu varieti padi dikehendaki pesawah, yang mana permintaan tinggi terhadap varieti padi MR297 menyebabkan ia tidak mencukupi pada musim ini.

"Bagaimanapun, Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras bersama agensi lain sudah mengambil tindakan yang perlu bagi mengatasi masalah ini," katanya pada sidang media selepas telesidang dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura bagi memperkasa eksport agromakanan ke Singapura, di FAMA di sini hari ini.

Selasa lalu, media melaporkan Badan Bertindak Petani MADA mendakwa sekali lagi berlaku kelewatan proses pengagihan benih padi kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sehingga menjejaskan jadual penanaman membabitkan lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis.

Jabatan Pertanian pula dilapor memberi jaminan benih padi mencukupi untuk kawasan seluas 520,000 hektar di Semenanjung, malah memaklumkan sebanyak 52,922.5 tan metrik benih sedang dalam proses pengesahan, berdasarkan rekos sehingga 10 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 2:47 PM
DR Ronald melihat antara produk FAMA ketika lawatan kerja di FAMA Johor, hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
DR Ronald melihat antara produk FAMA ketika lawatan kerja di FAMA Johor, hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan.