GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Kegagalan pengeluar, pemborong dan peruncit mematuhi peraturan penjualan benih padi sah boleh menyebabkan lesen dibatalkan atau digantung, kata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

KPKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kementerian melalui kuasa Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras berhak untuk membatalkan dan menggantung setiap lesen yang telah dikeluarkan sekiranya didapati gagal mematuhi Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].

KPKM memandang serius isu-isu berbangkit mengenai harga dan bekalan benih padi sah di pasaran serta menegaskan bekalan benih padi sah hanya dikeluarkan oleh pengeluar benih padi sah yang dilantik oleh kerajaan.

"Ia mempunyai mekanisme kawalan ke atas pengeluaran dan pemasaran benih padi sah seperti yang telah termaktub di dalam Perintah Tetap Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Bilangan 1/2021: Kawalan Kerajaan Ke Atas Pengeluaran Dan Pemasaran Benih berkuat kuasa 11 November 2021," menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan pengeluar atau pemborong hendaklah memastikan penjualan benih padi sah tidak melebihi daripada kuota yang telah diberikan dan harga yang dijual kepada peruncit tidak melebihi harga maksimum ditetapkan.

Harga maksimum yang ditetapkan ialah RM31 per kampit 20 kg jualan benih di pintu kilang, manakala harga maksimum RM32 per kampit 20 kg termasuk pengangkutan.

Sementara jualan benih padi sah pada peringkat runcit kepada pesawah hendaklah dijual tidak melebihi harga maksimum iaitu RM35 per kampit 20 kg, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 7:04 PM