Mohd Azran (lima dari kanan) bersama Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa di Pos Pasik. FOTO Ihsan Perkeso
Mohd Azran (lima dari kanan) bersama Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa di Pos Pasik. FOTO Ihsan Perkeso
Paya Linda Yahya


Gua Musang: "Insya-Allah duit pencen arwah suami ini akan digunakan sebaiknya bagi membesarkan dua anak kami" kata Syahira Hamid, 20, dengan nada sebak ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Syahira isteri kepada arwah Pisie Amud, 25, yang maut dibaham harimau dalam kejadian 5 Oktober lalu di Kampung Perwer, Pos Pasik.

Arwah turut meninggalkan dua anak perempuan Nur Haura Pisie dan Finka Pisie masing-masing berusia satu dan dua tahun.

Menurut Syahira, dia bersama dua anaknya kini masih tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Sugi, Pos Pasik.

Katanya dia tidak menyangka akan menerima faedah pencen bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM918.75 sebulan.

"Alhamdulillah ini rezeki anak-anak. Saya tidak menyangka akan menerima faedah pencen ini. Apabila dihubungi pihak PERKESO menyatakan saya layak menerima faedah Pencen Penakat saya sangat terkejut.

"Memang saya tahu arwah suami ada menyertai Ranger Komuniti (Pelindung) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Terima kasih kepada pihak PERKESO dan Perhilitan yang sudi datang untuk menyampaikan sumbangan ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pejabat Perkeso Kuala Krai, Mohd Azran Che Nuri berkata, selain pencen bulanan, waris mangsa turut menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000.

Katanya, bayaran pencen bulanan dibuat berikutan mangsa yang sebelum ini bekerja sebagai Pelindung Perhilitan adalah pencarum Perkeso.

"Isteri mangsa layak menerima faedah ini seumur hidup manakala anak layak menerima faedah ini sehingga umur 21 tahun atau berkahwin (mana yang lebih awal)," katanya.

"Pihak kami berharap Pencen Penakat dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh keluarga Orang Berinsuran untuk kelangsungan hidup mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 6:16 PM