Juwan Riduan


Penampang: Seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Inobong di sini, semalam, ditemukan lemas pagi ini.

Mayat mangsa Ashley Preston Hartley, 13, ditemukan pasukan bomba kira-kira 1.3 kilometer dari jarak mangsa dilaporkan hilang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa ditemukan oleh pasukan bomba.

"Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada 7.51 pagi.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 6 petang semalam, mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika bermain di tepi sungai bersama empat rakannya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 10:17 AM