Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Insinerator akan dibina dalam masa terdekat sebagai langkah mengatasi isu sampah di Pulau Redang.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan untuk membina insinerator di pulau terbabit sudah diputuskan beberapa bulan lalu.

Menurutnya, semua isu berkaitan dengan tanah juga sudah selesai dan kini dalam peringkat pelaksanaan sahaja.

"Dengan wujudnya insinerator ini, kita tidak lagi perlu membawa sampah dari Pulau Redang ke tanah besar seperti kita lakukan sekarang ini.

"Sekarang ini semua kelulusan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah selesai dan kita sedang menunggu pihak kontraktor membina fasiliti.

"Malah, kita jangkakan ia akan dilaksanakan dalam tempoh satu atau dua bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata pihaknya berharap dengan adanya insinerator itu sebagai alternatif terbaik dalam melupuskan sampah di Pulau Redang.

"Kita mengharapkan dengan pembinaan fasiliti ini dapat membantu menyelesaikan masalah berbangkit membawa sampah ke tanah besar terutama musim tengkujuh.

"Selain itu, kita juga meminta semua pihak tidak kira pelancong atau penduduk tempatan supaya bersikap lebih disiplin dalam isu pembuangan sampah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 2:13 PM