Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya.

Tertuduh yang berusia 42 tahun membuat pengakuan itu sebelum mohon dibicarakan selepas empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa merogol mangsa.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh terhadap mangsa ketika dia berusia lapan tahun hingga 11 tahun di sebuah rumah di daerah Marang antara pertengahan 2018 hingga pertengahan 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta yang sama serta Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Pemandu e-hailing diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Pemandu e-hailing diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (b), tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turutberdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 sebat bagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 7 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 5:07 PM