Mohd Hilmie Hussin


PEMANDU teksi didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung sejak 8 tahun lalu.

Tertuduh berusia 52 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan empat pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017, tertuduh didakwa melakukan amang seksual sebanyak empat kali sejak mangsa berumur enam tahun.

Tertuduh juga berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa dua kali ketika berumur 11 tahun dan terbaru pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina lalu.

Semua kesalahan dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Semabok Jaya, Melaka sejak November 2011 hingga Februari 2019.

 TERTUDUH diiring polis keluar dari kamar mahkamah. FOTO Zuhairi Zuber
TERTUDUH diiring polis keluar dari kamar mahkamah. FOTO Zuhairi Zuber

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman penjara hingga 30 tahun serta sekurang-kurangnya 10 sebatan, manakala kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun serta sebatan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos, mencadangkan kepada mahkamah untuk tidak menawarkan jaminan memandangkan usia mangsa masih kecil, selain tinggal serumah dengan tertuduh dan bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa serta saksi.

“Bagaimanapun jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan jaminan, saya cadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya mendiamkan diri sepanjang prosiding di jalankan.

Elesabet kemudian memerintahkan mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 18 April depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 2:30 PM