Ali Iqbal


Muar: Seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal serta merogol anak kandungnya hingga hamil tujuh bulan.

Tertuduh berusia 41 tahun berhadapan lapan pertuduhan termasuk satu kes amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya berusia 15 tahun sejak 2020, membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat sebaik semua pertuduhan dibaca jurubahasa.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya di sebuah rumah di Semerah, di sini, pada waktu malam tahun 2020.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga sebatan.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelapan, tertuduh bekerja kampung didakwa merogol anak kandungnya itu sejak Oktober 2020 sehingga 5 Jun lalu dengan semua kejadian berlaku di rumah sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga 10 sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan perbuatan keji itu ketika ketiadaan ahli keluarganya di rumah.

Kejadian itu hanya terbongkar selepas sesi pemeriksaan kesihatan dijalankan di sekolah mangsa dan mendapati berlaku perubahan fizikal pada tubuhnya.

Mangsa ketika itu tidak mengetahui dia mengandung sebelum membuat laporan polis terhadap tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd Rahman kemudian meminta mahkamah menetapkan satu tarikh bagi membolehkan pihaknya mendapat laporan DNA (asid deoksiribonukleik), laporan perubatan dan rekod jenayah lampau tertuduh.

Pihak pendakwaan juga tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Abu Bakar kemudian menetapkan 16 Julai ini sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 11:34 AM