Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tindakan seorang wanita dipercayai pelayan pelanggan (GRO) bersembunyi di ruangan kompresor penyaman udara tidak berhasil apabila berjaya ditahan dalam serbuan, malam tadi.

Dalam operasi pada 9 malam di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa, di sini, wanita berusia 30-an itu ditemui di sebalik beberapa kompresor dalam ruangan sempit berkenaan.

Dia dipercayai menggunakan pintu kecil untuk ke ruangan berkenaan yang terletak dalam bilik air di sebuah bilik karaoke.

Serbuan dilakukan oleh pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan risikan dijalankan sejak lima hari lalu.

Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, ketika serbuan, terdapat kira-kira 50 pelanggan sedang berhibur di premis tiga tingkat berkenaan.

"Berdasarkan risikan, terdapat antara 30 hingga 40 GRO wanita warga asing bekerja di pusat hiburan itu dengan khidmat mereka dikendalikan dua orang 'mummy' warga asing.

SEBAHAGIAN wanita pelayan pelanggan warga asing yang ditahan ketika Ops Bersepadu Pintas di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
SEBAHAGIAN wanita pelayan pelanggan warga asing yang ditahan ketika Ops Bersepadu Pintas di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim

"Kita (polis) berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis dan dua wanita masing-masing warga China dan Vietnam berusia 36 serta 51 tahun yang berperanan sebagai 'mummy'.

"Polis turut menahan 32 wanita warga asing terdiri daripada 26 warga Vietnam dan enam warga China berusia antara 18 hingga 41 tahun yang dipercayai bekerja sebagai GRO," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadil berkata, dalam serbuan itu, JSJN melakukan 97 saringan ujian air kencing ke atas tangkapan termasuk pelanggan dan mendapati kesemuanya negatif dadah.

Menurutnya, pusat hiburan itu dipercayai beroperasi sejak Mei lalu sebagai sebuah pub dengan menyediakan tiga bilik KTV untuk pelanggan berkaraoke yang dibuka seawal 3 petang hingga 1 pagi.

"Pelanggan juga disediakan perkhidmatan GRO untuk melayan mereka semasa berhibur dengan bayaran dalam bentuk tips," katanya.

Katanya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 11:20 AM