SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan di pusat urut serta pusat hiburan di sekitar Cheras. FOTO ihsan polis.
SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan di pusat urut serta pusat hiburan di sekitar Cheras. FOTO ihsan polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


SEPULUH wanita warga asing termasuk pelayan pelanggan (GRO) disyaki terbabit dengan kegiatan pelacuran ditahan dalam Operasi Noda menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar Cheras pada 30 September lalu hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, serbuan pertama dilakukan di pusat urut di Taman Maluri yang membawa kepada penahanan lima wanita warga Myanmar bekerja sebagai tukang urut.

“Dalam operasi bermula 10.15 malam itu, kami turut menahan seorang lelaki warga Myanmar yang bekerja sebagai penjaga premis serta dua pelanggan warga China.

“Menerusi operasi kedua di pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa, kelmarin, kami menahan seorang wanita warga Indonesia dan dua wanita warga Vietnam bekerja sebagai GRO.

“Selain itu, tangkapan turut dibuat terhadap seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis dan seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja di pusat hiburan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, pihaknya menahan dua wanita warga China yang bekerja sebagai GRO dan seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis ditahan dalam serbuan ketiga di sebuah pusat istirahat di Taman Cheras Utama, semalam.

Beliau berkata, hasil ujian saringan dilakukan terhadap semua individu ditahan dalam ketiga-tiga serbuan berkenaan didapati negatif.

“Mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) dan Sekyen 6(1)(c) akta sama, selain Seksyen 4(1) (b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992,” katanya.

Dalam operasi berlainan, beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki yang juga ejen nombor ekor tidak berlesen di Jalan Peel, pada 6.20 petang semalam.

Menurutnya, lelaki itu direman sehingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Terdahulu, kami memberkas seorang lelaki warga Indonesia yang membeli judi ekor tanpa lesen di pangsapuri di Bandar Tasik Selatan pada 6 petang semalam.

“Selain itu, kami turut melakukan serbuan 9.30 malam, kelmarin di sebuah unit kondominium di Jalan Cheras yang dijadikan sebagai pusat judi dalam talian sejak dua minggu lalu.

“Lima lelaki warga China ditahan dalam operasi itu dan direman selama dua minggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 7:57 PM