Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa, di sini, dikesan menggunakan khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) bagi menarik lelaki 'hidung belang' sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, helah itu terbongkar selepas premis itu diserbu sepasukan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, kira-kira 10 malam tadi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohsin berkata, serbuan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti tidak bermoral berkenaan sebelum risikan dilakukan selama seminggu di premis terbabit.

"Seramai 81 individu membabitkan pengunjung serta pekerja di premis berkenaan diperiksa dengan 35 warga asing berusia 22 hingga 39 tahun ditahan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 29 wanita warga Thailand, tiga wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Laos yang dipercayai bekerja sebagai GRO.

"Selain itu, kami menahan dua lelaki warga Bangladesh yang bekerja di premis terbabit," katanya pada sidang media di lokasi selepas mengetui operasi berkenaan, malam tadi.

SYAMSUL menunjukkan selempang yang dikalungkan kepada GRO warga asing ketika Ops Selendang. FOTO Hairul Anuar Rahim
SYAMSUL menunjukkan selempang yang dikalungkan kepada GRO warga asing ketika Ops Selendang. FOTO Hairul Anuar Rahim

Syamsul berkata, modus operandi pusat hiburan berkenaan adalah menawarkan khidmat GRO kepada pelanggan dengan bayaran antara RM100 hingga RM1,000.

"Pengunjung akan memilih GRO yang mereka mahu berdasarkan persembahan tarian mereka di atas pentas dengan menyarungkan selempang pada wanita terbabit.

"Terdapat tanda harga tips yang mahu diberikan pelanggan kepada wanita terbabit tertera pada selempang berkenaan iaitu antara RM100 hingga RM1,000.

"Menurut pengakuan GRO, mereka hanya melayan pelanggan di dalam premis. Kami percaya aktiviti tidak bermoral ini dilakukan di premis berkenaan sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Katanya, semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 1:01 PM