MAS Imran menyampaikan sumbangan pek makanan dan barang keperluan harian kepada penduduk sambil diperhatikan Rozi (dua dari kanan).
MAS Imran menyampaikan sumbangan pek makanan dan barang keperluan harian kepada penduduk sambil diperhatikan Rozi (dua dari kanan).

Mataram (Lombok), Indonesia: Penderitaan warga Lombok, Nusa Tenggara Barat (NTB) yang menjadi mangsa gempa bumi kira-kira lima tahun lalu, terus mendapat curahan simpati rakyat Malaysia.

Bantuan dalam pelbagai bentuk termasuk wang tunai, makanan dan barang keperluan harian disalurkan menerusi misi kemanusiaan Humanitarian CareMalaysia (MyCARE) dengan kerjasama pasar raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd.

Misi kemanusiaan yang memasuki edisi keempat sejak 2018 itu menumpukan bantuan barang keperluan harian dan makanan, termasuk pengagihan lebih 5,000 naskhah al-Quran.

Gempa bumi kuat berukuran lebih 7.2 magnitud pada 2018 memusnahkan beribu-ribu rumah kediaman, bangunan pejabat dan rumah ibadat menyebabkan beribu-ribu penduduk terkorban manakala puluhan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.

Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abd Ghani berkata, pihaknya sekali lagi berkolaborasi dengan Econsave bagi menyantuni warga Lombok yang masih dihimpit pelbagai kesulitan untuk meneruskan kehidupan sehingga hari ini.

"Pada hari ini kita meneruskan kerjasama strategik MyCARE dan Econsave dalam kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan serantau dengan menyerahkan 5,000 naskhah al-Quran kepada 50 Taman Pendidikan Al-Quran atau pusat tahfiz termasuk naskhah al-Quran braille untuk pelajar cacat penglihatan.

"Selain itu kita turut memberi sumbangan pek makanan kepada 100 warga emas miskin dan 150 anak yatim miskin sekitar Lombok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Peringatan Maulid Nabi Besar Muhammad SAW di Masjid Besar Jam'iyyatul Qudsiyyah Kecamatan di Pringgasela, Lombok Timur, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam dan Presiden Kelab Majestic Motor Group (MG), Zulkarnain Isahak.

Seramai 17 peserta menyertai Misi Bantuan Pasca Gempa Bumi Lombok itu bermula pada 27 sehingga 30 September ini.

Misi bantuan itu yang keempat selepas bantuan disampaikan sejurus gempa melanda pada 2018 dan dua kali lagi sepanjang 2019.

Mengulas lanjut, Rozi yang juga Ketua Misi Kemanusiaan ke Lombok berkata, perkara ketiga yang dilakukan dalam bantuan kemanusiaan kali ini adalah aktiviti membantu psikologi anak-anak yatim diketuai kaunselor daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Sasaran kita adalah menyantuni 150 anak-anak yatim dengan pelbagai aktiviti dan hadiah sebagai sokongan emosi dinamakan aktiviti psikososial," katanya.

Selain itu katanya, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas turut menyumbangkan 50 al-Quran Wakaf Maqdis dan Noble terjemahan Bahasa Inggeris untuk pusat tahfiz.

Dalam pada itu, beliau berkata, menerusi bantuan diberikan pihak MyCARE dan Econsave sebelum ini adalah dengan melancarkan kempen kutipan dana semua 94 cawangan Econsave di seluruh negara seluruh negara.

"Terdapat beberapa projek yang telah dibina dilancarkan dan hasilnya berjaya membantu mengembalikan kehidupan mangsa dan membina semula Lombok selepas bencana.

"Antara projek yang dimaksudkan ialah bantuan bungkusan makanan; projek air bersih; pembinaan rumah senyum atau rumah sementara; bantuan pendidikan; membina semula masjid-masjid dan membantu rumah anak-anak kurang upaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 12:14 PM