NELAYAN di Kampung Loli Dondo, Donggala Tengah, menarik perahu yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia untuk turun ke laut.
NELAYAN di Kampung Loli Dondo, Donggala Tengah, menarik perahu yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia untuk turun ke laut.
Othman Mamat yang mengikuti misi bantuan pasca gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah dan Banten dan Indonesia

PALU (Sulawesi Tengah): Sudah hampir empat bulan tragedi gempa bumi yang disusuli dengan tsunami dan pergeseran tanah (liquifaksi) melanda beberapa daerah di Sulawesi Tengah, Indonesia, berlalu namun masih ramai mangsa yang berlindung di ratusan khemah penempatan sementara.

Sebahagian daripada mereka terpaksa terus bersesak dan hidup dalam keadaan tidak selesa di khemah itu kerana ketiadaan tempat tinggal selepas kediaman asal musnah dalam tragedi yang berlaku pada 28 September 2018 lalu.

Gempa bumi dengan magnitud 7.5 yang menggegarkan Sulawesi Tengah itu meragut lebih 2,200 nyawa mengikut rekod rasmi dikeluarkan pemerintah Indonesia, namun penduduk tempatan yakin masih ramai mangsa tertimbus di bawah runtuhan bangunan dan tanah yang belum dikeluarkan.

Kesusahan dan kesempitan hidup yang dialami mangsa bencana alam itu mendapat perhatian rakyat Malaysia yang menghulurkan sumbangan menerusi tabung khas dikelolakan Econsave Cash & Carry Sdn Bhd menerusi rangkaian 72 pasar rayanya di seluruh negara.

Pengurus Besar Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam, berkata sehingga kini, lebih RM300,000 yang didermakan oleh pelanggan pasar raya Econsave sudah disalurkan kepada mangsa gempa bumi, tsunami dan liquifaksi di Palu dan Donggala, melalui dua misi bantuan yang diadakan pada kali ini dan Oktober tahun lalu.

Menurutnya, bantuan dalam bentuk wang tunai dan barangan makanan dan keperluan harian itu disalurkan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) langsung kepada mangsa bencana terbabit menerusi kolaborasi dengan NGO Indonesia, Posko Keadilan Peduli Ummah (PKPU).

“Dalam misi bantuan #Perahu4Palu di Sulawesi Tengah pada 17 hingga 22 Januari lalu, Econsave/MyCARE menyalurkan RM75,000 dalam bentuk bantuan peralatan menangkap ikan kepada 30 keluarga nelayan di Donggala Tengah dan Utara yang kehilangan sumber pendapatan selepas perahu, enjin sangkut dan pukat mereka musnah dirempuh tsunami.

“Econsave/MyCARE juga merancang untuk membina sebuah pusat aktiviti nelayan bernilai RP15 juta (RM5,000) di pantai Loli Dondo, Donggala Tengah yang musnah dan lenyap daripada pandangan selepas disapu ombak besar tsunami,’ katanya.

Dalam misi sama, Econsave/MyCARE turut mengagihkan bungkusan makanan, telekung, pek kebersihan diri wanita dan kotak keceriaan kanak-kanak kepada lebih 300 mangsa bencana alam itu di Donggala Utara dan lebih 300 keluarga di Donggala Tengah.

Ketua Misi yang juga Pengurus MyCARE Johor, Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar, berkata misi kedua ini adalah misi pelaksanaan selepas mengenal pasti golongan paling kritikal perlukan bantuan ialah nelayan.

“Mereka ini kebanyakannya tiada pekerjaan lain dan tidak boleh membuat kerja lain selain menangkap ikan. Selepas lebih empat bulan tsunami menyerang kampung mereka, daripada 32 nelayan hanya 4 daripada mereka yang mampu mengadakan perahu untuk mereka ke laut sedangkan mereka tidak dapat memberikan makanan dan keperluan kepada keluarga mereka tanpa perahu ini,” katanya.

‘MyCARE dan Econsave akan membantu keseluruhan nelayan agar mereka dapat meneruskan kehidupan dan anak-anak dan keluarga mereka mendapat rezeki. Keseluruhan 30 hingga 40 perahu akan disumbangkan kepada nelayan terbabit.

‘ Selagi rakan atau negara jiran kita ini masih memerlukan bantuan, myCARE dan Econsave akan terus berusaha mengumpul dana secara langsung dan tidak langsung untuk mereka, khususnya kepada nelayan kerana mereka golongan agak terpinggir dan itulah satu-satunya mata pencarian mereka,’ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 7:50 AM