Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menerusi sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) akan melaksanakan program untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antaranya termasuk memperuntukkan RM125 juta setiap tahun bagi Program Rumah SMJ bagi membina rumah untuk rakyat miskin tegar yang tersenarai dalam e-Kasih.

"Kerajaan juga akan memperuntukkan sejumlah RM175 juta khas untuk program membasmi kemiskinan dengan mendapatkan peluang pekerjaan kepada golongan sasar bagi membolehkan mereka terkeluar dari kategori miskin tegar.

"Kerajaan negeri juga menyambut baik komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai usaha untuk mensejahterakan rakyat dengan langkah ke arah menoktahkan kemiskinan yang bertepatan dengan ajaran Rasulullah SAW," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

HAJIJI berucap pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M di Sabah International Convention Centre (SICC). FOTO Mohd Adam Arinin
HAJIJI berucap pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M di Sabah International Convention Centre (SICC). FOTO Mohd Adam Arinin

Dalam pada itu, Hajiji turut berkata pembinaan tamadun yang gemilang bergantung kepada pencapaian sesebuah bangsa atau ummah.

Menurutnya, ini kerana prestasi ummah yang baik pasti melahirkan tamadun agung yang memberi kesejahteraan kepada umat sejagat.

Katanya, pembangunan insan adalah aspek penting yang terkandung dalam Dasar Hala Tuju SMJ juga selari dengan kerangka pembangunan insan Malaysia Madani ke arah 'Baldatun Thoyyibatun wa Rabbhun Ghafur' atau negeri baik yang mendapat keredaan dan keampunan Tuhan.

Selain itu, katanya selaku pemimpin ummah, Nabi Muhammad SAW sering mengingatkan pentingnya ukhuwah dan perpaduan dalam bermasyarakat.

Menurutnya, persengketaan dalam kalangan umat akan melemah dan merugikan yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan kehancuran.

"Dalam konteks negeri Sabah, semangat kekitaan dan perpaduan kaum perlu sentiasa dijaga dan dipelihara.

"Sekarang adalah masa untuk kita mempertingkatkan lagi silaturahim, membina ukhuwah dan kesepakatan kerana kita perlu mengatur masa hadapan yang lebih kondusif serta cemerlang.

"Ini selaras dengan gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju SMJ yang matlamatnya ke arah mencipta kemakmuran dan kesejahteraan yang holistik untuk dinikmati bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 11:58 AM