Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) menyampaikan sumbangan kepada asnaf pada majlis berbuka puasa di Tuaran. FOTO Ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) menyampaikan sumbangan kepada asnaf pada majlis berbuka puasa di Tuaran. FOTO Ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
Izwan Abdullah


Tuaran: Statistik kemiskinan tegar lapan daerah termiskin di Sabah, termasuk Tuaran yang dilaporkan baru-baru ini dibuat berdasarkan rekod tiga tahun yang lalu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jika diambil kira rekod terbaharu pada tahun ini, statistik ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di daerah terbabit sudah jauh berkurang.

Katanya, bagi daerah Tuaran saja rekod terkini setakat bulan lalu hanya ada 600 KIR miskin tegar berbanding kira-kira 1,000 KIR yang dilaporkan tiga tahun lalu.

Beliau berkata, penurunan itu adalah hasil usaha dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan pimpinannya dalam memerangi kemiskinan tegar sepanjang kira-kira tiga tahun memerintah negeri.

"Sekarang pembangkang guna isu Tuaran daerah termiskin di Sabah, tapi saya mahu jelaskan itu ialah ukuran tiga tahun yang lalu, saya dimaklumkan ada 1,000 lebih KIR miskin tegar di Tuaran pada masa itu.

"Tapi, yang terbaharu sekarang ini saya dimaklumkan bahawa jumlah KIR miskin tegar sudah berkurang kepada lebih 600 di Tuaran.

"Maknanya, kerajaan memandang serius masalah kemiskinan tegar dan berusaha membantu golongan itu melalui pelbagai cara, bukan saja bantuan rumah, malah dibantu memulakan perniagaan kecil-kecilan supaya statistik mereka dapat diturunkan," katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri di Masjid An-Nur, Tuaran, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan laporan terbaharu kemiskinan di Sabah yang menyenaraikan lapan daerah termiskin di Sabah iaitu Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu.

Hajiji berkata, statistik keseluruhan KIR di Sabah setakat 24 Mac lalu pula hanya berjumlah 13,172 orang KIR, berbanding 22,510 orang KIR yang dilaporkan tiga tahun lalu.

"Ini bermakna kerajaan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan ini adalah keutamaan kita. Dalam kita merancang pembangunan besar, kita jangan lupa golongan miskin tegar.

"Kita ada sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) yang ditugaskan menangani isu kemiskinan di Sabah. Antaranya melaksanakan pembinaan Rumah Mesra SMJ yang mana dua tahun berturut-turut kita beri 1,500 rumah setahun kepada mereka yang tersenarai dalam e-kasih.

"Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan 20 rumah, jadi sekarang ini sudah ada 3,000 rumah diberi kepada golongan miskin tegar yang ada dalam senarai e-kasih," katanya.

Beliau berkata, perkara itu adalah antara usaha yang dibuat kerajaan, namun pembangkang hanya pandai bercakap bermacam-macam untuk memburukkan usaha kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - Pakatan Harapan (PH) Plus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 9:37 AM