GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pengasuh pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Permaisuri di sini ditahan selepas didakwa mencederakan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, yang video mengenainya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, polis mengesan dua klip video berdurasi satu minit 10 saat dan 56 saat di aplikasi Facebook (FB), memaparkan wanita mencederakan kanak-kanak itu, hari ini.

Menurutnya, sebelum itu pada 11.28 pagi semalam, polis menerima laporan dibuat bapa mangsa berhubung kes berkenaan.

"Bertindak atas maklumat, pada jam 1 tengah hari semalam, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur membuat tangkapan ke atas suspek berusia 28 tahun.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan mengganggu ketenteraman awam.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 6:35 PM